Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat urus projek lupus sisa Lynas ada kaitan kerabat Pahang

Bukit Ketam terletak kira-kira 35km dari Kuantan.

Kawasan terpencil itu mula mendapat perhatian baru-baru ini apabila Lynas Malaysia mengumumkan akan membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di situ, untuk sisa penulenan air larut lesap (WLP) daripada kilangnya dekat pelabuhan Kuantan.

Sementara perhatian banyak tertumpu pada firma nadir bumi itu, perkembangan di Bukit Ketam menjadi sesuatu yang lebih besar daripada Lynas, dan sebuah firma yang mempunyai kaitan dengan kerabat Pahang ditugaskan melaksanakan rancangan berkenaan.

Seluas 202.35 hektar tanah, bersamaan dengan saiz 283 padang bola sepak, telah dikeluarkan daripada hutan simpan kekal Bukit Kuantan, untuk ditukarkan menjadi tapak pelupusan sisa berjadual industri pelbagai kategori (MCISWDS).

PDF Lynas hanya akan mengambil 58.35 hektar, atau 29 peratus daripada keseluruhan kawasan berkenaan.

Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB), firma swasta yang mempunyai kaitan dengan kerabat Pahang, akan menjadi kontraktor MCISWDS itu. Lynas turut melantik syarikat sama untuk membina PDF-nya di situ.

GSSB ditubuhkan pada Julai 2012 sebagai Puncak Trillium Sdn Bhd, dan menukar namanya ke nama sekarang pada Disember 2014.

Semakan Malaysiakini terhadap firma itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan pemegang saham majoritinya, dengan 50 peratus pegangan, ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pemegang saham kedua terbesar pula ialah ketua pegawai eksekutif Gading Group Johari Harun, yang juga merupakan naib ketua Umno bahagian Bentong. Dia memegang 40 peratus saham.

Baki 10 peratus lagi dipegang oleh individu bernama Mohd Firdaus Redzuan.

Maklumat syarikat tersebut adalah berdasarkan rekod yang dihantar kepada SSM setakat 5 Oktober 2020.

Pengarah syarikat ialah Johari, Firdaus, dan individu bernama Ahmad Radzi Zaini.

Pergelutan alam sekitar

Kontrak mega itu merupakan satu lagi projek yang harus dihadapi penduduk Kuantan, ketika bandar itu bergelut dalam memastikan keseimbangan antara alam sekitar dan industri, sejak sedekad kebelakangan ini.

Jalan dari bandar itu ke kawasan yang akan menjadi tapak MCISWDS, diapit ladang kelapa sawit. Jalannya merah, mengingatkan kepada pelombongan bauksit secara berleluasa pada 2015, yang menyebabkan sebahagian daripada Kuantan diselubungi debu merah.

 Pelombongan itu, yang menyaksikan pengusaha-pengusaha kecil ladang kelapa sawit menjual tanah mereka bagi tujuan pelombongan untuk mendapatkan wang tunai.

Ia akhirnya memaksa kerajaan pusat campur tangan dengan mengenakan moratorium terhadap eksport daripada pelabuhan Kuantan.

MCISWDS sendiri merupakan hasil daripada bantahan aktivis alam sekitar terhadap Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (Lamp) di Gebeng, Kuantan sejak 2010.

Pemprosesan bahan nadir bumi di fasiliti itu menghasilkan sisa toksik, termasuklah sisa WLP.

Meskipun sisa itu beradioaktif rendah, pengumpulannya dalam jangka masa panjang menimbulkan kebimbangan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal memastikan untuk sisa itu dihantar balik ke Mt Weld di Australia Barat, tempat nadir bumi itu dilombong, meskipun PH turut menyokong bantahan terhadap fasiliti berkenaan semasa menjadi pembangkang.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan barunya, Lynas Malaysia bersetuju untuk memindahkan operasi pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching), yang menghasilkan sisa radioaktif, balik ke Australia Barat.

Pembinaan PDF pula adalah untuk menangani sisa yang sudah pun dihasilkan di sini sejak 2012.

Tetapi projek MCISWDS ini secara signifikannya lebih besar daripada PDF Lynas, dan masih belum jelas apakah lagi bentuk sisa lain yang akan disimpan di kemudahan berkenaan.

Tapak pelupusan sisa sehingga 2119

MCISWDS di Pahang akan mendekati sempadan negeri Terengganu. Bersebelahan tapak itu, di sebelah Terengganu, merupakan ladang durian yang luas.

Maklumat berkenaan MCISWDS masih terhad tetapi beberapa perincian boleh didapati daripada laporan penialain impak alam sekitar (EIA) berkenaan PDF Lynas, yang terletak di dalam kawasan berkenaan.

Berdasarkan laporan EIA, kerajaan Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan, pejabat tanah, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, kerajaan Terengganu, Syarikat Air Terengganu dan Majlis Perbandaran Kemaman tidak mempunyai bantahan ke atas PDF Lynas.

Dokumen sokongan turut mendedahkan bahawa kerajaan Pahang telah mengeluarkan (excised) kawasan seluas 202.35 hektar untuk MCISWDS itu daripada Hutan Simpan Bukit Kuantan, yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal sejak 1962.

Hutan di dalam kawasan tapak projek itu akan ditebang sebelum pembinaan bermula.

Di bawah Seksyen 13 Akta Perhutanan Negara 1984, pihak berkuasa negeri boleh mengeluarkan mana-mana kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal, dengan menyiarkan di dalam warta berkenaan keluasan tanah serta mengisytiharkan tanah tersebut tidak lagi menjadi hutan simpanan kekal mulai dari satu tarikh yang ditetapkan.

Tafsiran dalam Akta 1948 dan 1967 mendefinisikan “pihak berkuasa” sebagai pemerintah negeri.

Geran tanah yang dilampirkan dalam laporan EIA menunjukkan tapak itu kini disenaraikan sebagai tanah perindustrian untuk tempoh 99 tahun - dari 4 Ogos 2020 hingga 13 Ogos 2119.

Walaupun sisa itu akan disimpan secara kekal di situ, setidak-tidaknya bagi Lynas, EIA berkata kawasan itu masih boleh ditukar kepada taman rekreasi awam pada masa hadapan.

Berdasarkan garis masa pelaksanaan projek PDF Lynas, pembersihan tanah dijadualkan bermula pertengahan bulan ini.

GSSB sudah membuat permohonan pembersihan tanah kepada Jabatan Perhutanan Pahang pada Oktober 2020.

Pada November, Jabatan Perhutanan Pahang telah memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar bahawa ia tidak mempunyai sebarang bantahan, asalkan GSSB tidak menyentuh kawasan hutan di sekeliling tapak projek berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi GSSB untuk mendapatkan reaksi berkaitan projek MCISWDS itu.

[Baca laporan asal]

ADS