Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Vaksin: PH gesa kerajaan utamakan rumah warga emas
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan menggesa kerajaan memberikan keutamaan kepada warga emas terutamanya mereka yang tinggal di Rumah Penjagaan Warga Emas, dengan memasukkan mereka ke dalam Fasa 1 Program Vaksinasi Kebangsaan.

Dalam satu kenyataan bersama, jawatankuasa PH berkata langkah tersebut perlu dilaksanakan oleh kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memasukkan rumah penjagaan warga emas yang berdaftar dan tidak berdaftar dalam Fasa 1 Program Vaksinasi Kebangsaan.

JKJAV diketuai oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Risiko kematian bagi warga rumah penjagaan warga emas adalah sangat tinggi.

“Warga emas yang tinggal di rumah jagaan sangat rentan bukan hanya kerana keadaan kesihatan mereka tetapi juga kerana keadaan hidup mereka yang sesak,” menurut awatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman baru-baru ini berhubung kluster yang melibatkan rumah jagaan warga tua di negara ini.

Jawatankuasa yang terdiri daripada sembilan wakil rakyat PH juga berkata satu langkah proaktif diperlukan untuk melindungi bukan sahaja kesihatan warga emas tetapi juga pekerja yang menjaga mereka.

Kenyataan bersama itu terdiri daripada Dr Dzulkifly Ahmad (ahli parlimen Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye ( Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Maria (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela (Exco Kesihatan Pulau Pinang), dan Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).

“Melalui program vaksinasi dan melindungi mereka yang berada di rumah jagaan warga emas dalam Fasa 1, kita dapat menurunkan angka rawat inap terutama bagi mereka yang dirawat dengan gejala yang lebih teruk.

“Ini juga akan mengurangkan kadar kematian keseluruhan dan ini akan mengurangkan beban hospital dan barisan hadapan kita,” katanya.

Fasa 1 program akan berlangsung sehingga April.

Fasa 2 pula akan berlangsung dari bulan April hingga Ogos dan melibatkan 9.4 juta orang yang diklasifikasikan sebagai kumpulan berisiko tinggi.

Kumpulan ini termasuk golongan yang berbeza, mereka yang berumur di atas 60 tahun dan mereka yang mempunyai komorbiditi seperti penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Sementara fasa 3 akan berlangsung dari Mei hingga Februari 2022 untuk semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

Lihat Komen
ADS