Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah benar Dr M mencelah kes saman darurat
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 1:40 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin Parti Pejuang Tanah Air mencelah dalam kes keengganan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat ketika dinasihatkan perdana menteri kali pertama pada Oktober lalu.

Mahkamah turut memberikan kebenaran sama kepada NGO Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) dalam tindakan undang-undang yang dikemukana oleh peguam Syed Iskandar Syed Jaafar itu.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Mahathir dan wakil rakyat Pejuang, berkata hakim Mariana Yahya membenarkan permohonan mereka semasa sesi pendengaran atas talian hari ini.

“Hakim Mariana memutuskan, oleh kerana kes ini melibatkan kepentingan awam dan isu perlembagaan, pencelah mempunyai keabsahan dan kepentingan sebenar untuk dibenarkan mencelah,” kata peguam.

Pengurusan kes ditetapkan pada 16 Mac.

 Syed Iskandar Syed Jaafar

Anggota parlimen yang turut mendapat kebenaran itu ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu ) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading). Seorang lagi ialah senator Marzuki Yahya.

Kelima-lima pemimpin Pejuang itu mahu mencelah atas alasan mereka mempunyai hak untuk melindungi dan mempertahankan perlembagaan.

Pihak lain turut mendapat kebenaran mencelah ialah Persatuan Peguam Muslim Malaysia, tiga peguam - Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Malcolm Fernandez dan Nazira Abdul Rahim - serta Cenbet.

Syed Iskandar meminta panduan mahkamah mengenai isu perlembagaan berkaitan dengan keputusan Seri Paduka sebelum ini.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Agong memutuskan untuk tidak menerima permintaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat atas alasan kerajaan ketika itu telah menangani Covid-19 dengan berkesan.

Bagaimanapun, pada 12 Januari lalu, Agong bersetuju untuk memperkenakan permohonan darurat kali kedua Muhyiddin untuk membendung penyebaran Covid-19.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS