Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan putuskan M'kini hina mahkamah melalui komen pembaca

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Malaysiakini bertanggungjawab kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarangnya, Steven Gan tidak didapati bersalah atas tuduhan menghina mahkamah.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf menyampaikan keputusan itu pagi ini.

Rohana menyampaikan keputusan majoriti 6-1, dengan keputusan yang tidak bersetuju adalah hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini.

Ini merupakan kali pertama Malaysiakini menghadapi tuduhan menghina mahkamah sepanjang 21 tahun penubuhannya.

Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara, Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tersebut.

Ketika membacakan keputusan majoriti hari ini, Rohana berkata Peguam Negara membuktikan andaian di bawah Seksyen 114A Akta Keterangan, bahawa Malaysiakini merupakan penerbit terhadap komen yang menyinggung.

Rohana berkata, portal berita tersebut bertanggungjawab di bawah undang-undang atas komen menghina mahkamah oleh pelanggannya yang merupakan pihak ketiga.

Dia menjelaskan bahawa walaupun Malaysiakini berpendapat bahawa ia tidak bertanggungjawab atas komen tersebut kerana tidak tahu mengenai hal itu disebabkan telah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk melindungi daripada tanggungjawab tersebut, dia berkata mahkamah tidak dapat menerimanya.

“Pada akhirnya, Malaysiakini adalah pemilik laman web, menerbitkan artikel yang penting untuk orang ramai, membolehkan pelanggannya menghantar komen untuk mencetuskan perbincangan.

"Ia mereka platform dalam talian untuk tujuan seperti itu dan memutuskan untuk menyaring penggunaan kata-kata buruk dan bergantung kepada ketiga-tiga langkah yang telah diambilnya.

"Dengan kata lain, responden pertama (Malaysiakini) mereka dan mengawal platform dalam taliannya dengan cara yang dikehendakinya. Ia mempunyai kawalan penuh terhadap apa yang boleh diterbitkan dan yang tidak. Dengan berbuat demikian, ia mesti menanggung, risiko yang timbul akibat membiarkan platformnya beroperasi.

"Malaysiakini tidak boleh mengatakan bahawa sistem saringannya gagal menyaring komen yang menyinggung perasaan, padahal pada hakikatnya ia sengaja memilih untuk hanya menyaring bahasa yang buruk tetapi bukan yang menyinggung perasaan.

"Malah kami masih bingung bagaimana komen-komen ini bahkan melepasi saringannya dengan melihat bahasa komen-komen yang menimbulkan keraguan," katanya.

"Malaysiakini tidak boleh meletakkan seluruh kesalahan kepada pelanggan dalam talian iaitu pihak ketiga, dengan secara tidak adil dan tidak bertanggungjawab, sambil melepaskan semua tanggungjawabnya.

"Kebenarannya, hantaran itu dibuat kerana ia menyediakan platform untuk pelanggan menghantar komen yang menimbulkan keraguan. Tidak selain itu, ”katanya, sambil mengatakan ia samalah seperti Malaysiakini  memudahkan penerbitan sesuatu komen.

Rohana menegaskan bahawa adalah tidak boleh diterima apabila komen yang menimbulkan keraguan itu diterbitkan ketika Malaysiakini memiliki pasukan penyunting dan laporan yang tersusun, diselaras dan teratur serta mengagumkan.

Dia berkata tiada penjelasan diberikan oleh mana-mana penyunting bagaimana komen-komen itu terlepas daripada perhatian mereka.

Dia berkata sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka mesti tahu mengenai komen berkenaan, oleh itu portal berita tersebut tidak boleh menafikan bahawa ia tiada pengetahuan mengenai komen tersebut.

"Melihat kepada fakta bahawa portal berita yang juga responden pertama (Malaysiakini) memiliki jumlah pembaca yang besar dan menerima sekitar 2000 komen setiap hari, berdasarkan fakta bahawa ia mempunyai kawalan editorial terhadap kandungan yang disiarkan di ruangan komen, responden pertama mesti memikul tanggungjawab untuk mengambil risiko menyediakan platform itu bagi tujuan tersebut.

"Jumlah yang besar (pembaca) tidak boleh menjadi asas bahawa ia kurang tahu, untuk menghindari tanggungjawabnya.

"Dengan tujuan untuk menggalakkan wacana awam mengenai hal-hal berkaitan kepentingan awam, Malaysiakini sekurang-kurangnya harus memastikan bahawa masyarakat Malaysia terdedah kepada perbincangan yang seimbang mengenai isu-isu kebimbangan masyarakat dan tidak mengambil bahagian dalam merendahkan dan memperlekeh institusi kehakiman untuk melemahkan keyakinan masyarakat,” katanya.

"Anggota pasukan editorial khususnya, pasti tahu jenis bahan yang diterbitkan dan boleh meramalkan jenis komen yang akan menarik perhatian, dengan mengingatkan pengalaman mereka dalam mengendalikan Malaysiakini selama lebih daripada 20 tahun," katanya.

Rohana berkata, portal berita itu salah menafsirkan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia ketika bergantung kepada kod tersebut untuk cuba melindungi diri daripada tanggungjawabnya.

Dia bagaimanapun berkata keputusan majoriti adalah sukar untuk menganggap Gan sebagai penerbit berdasarkan Seksyen 114A, justeru mendapati dia tidak bersalah atas tuduhan menghina tersebut.

"Tiada fakta atau bukti yang ditambahkan bahawa nama responden kedua (Gan)  boleh dikaitkan dengan memudahkan penerbitan komen yang menghina," kata Rohana.

Presiden Mahkamah Rayuan itu juga mengakui bahawa kes ini menarik perhatian portal berita dan media serta organisasi dan platform media sosial di seluruh dunia.

Katanya, dia memahami keresahan dan kebimbangan media bahawa kes ini akan mengekang kebebasan media dan memberikan kesan yang akhirnya menyebabkan tekanan terhadap kebebasan media.

ADS