Paling Popular
Terkini

Pengasas The KL Sky Clinic Dr AV Roland Victor yang memberi keterangan kepada polis semalam berhubung video yang antara lain menyentuh berkenaan kesan sampingan vaksin Covid-19, menegaskan bahawa dia bukanlah seorang antivaksin.

“Saya bukan antivaksin. Saya provaksin,” tegasnya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

“Apa yang saya titik beratkan pada vaksin itu (adalah) ketelusan pada kesan sampingan itu kena ketara. Maksudnya kena terbuka, tak boleh berselindung,” katanya.

Semalam, Dr Roland memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang berhubung kandungan video berdurasi 56 minit yang dimuat naik menerusi laman Facebook kliniknya pada 7 Feb.

Katanya, selain penerangan mengenai vaksin, termasuklah fungsi, keberkesanan dan kesan sampingan vaksin, video itu turut mengupas isu-isu lain mengenai kesusahan rakyat ketika musim Covid-19.

Antara perkara yang dibangkitkan Dr Ronald adalah nisbah kemungkinan mendapat kesan sampingan selepas mengambil vaksin jenama tertentu, termasuklah gejala muka senget.

Berdasarkan laporan media semalam, polis memaklumkan hanya satu laporan polis diterima berhubung kandungan video itu dan kes disiasat menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Video Dr Ronald itu menerima reaksi yang pelbagai.

Ada yang tidak bersetuju dengan Dr Ronald, tetapi ada juga yang menyambutnya baik, termasuk golongan menolak vaksin yang meninggalkan komen sokongan di media sosial dan laman video.

Ekoran video tersebut, beberapa doktor tampil di media sosial mengkritik Dr Ronald berhubung nisbah kebarangkalian kesan sampingan tertentu yang disebutkannya di dalam video berkenaan, dan menyifatkannya membuat tafsiran yang tidak tepat terhadap perkara tersebut.

Bagaimanapun, Dr Ronald berpandangan bahawa tidak ada salah pemahaman yang disampaikan di dalam videonya.

“Saya juga salah seorang pakar dalam bab ini. Walaupun saya bertugas di swasta, saya ada kepakaran dalam pengurusan penjagaan kesihatan,” katanya yang mempunyai kelulusan sarjana dalam bidang berkenaan.

Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mulakan dilancarkan secara berfasa pada 26

Baca lanjut: Panduankini: Seberapa selamat vaksin Pfizer dan bagaimana ia dibangun begitu cepat?

Untuk rekod, Malaysia turut membuat perolehan vaksin daripada AstraZeneca dan sedang memuktamadkan perjanjian dengan pengeluar vaksin seperti Sinovac, CanSino Biologics dan Gamaleya Centre.

Maklumat mengenai kesan sampingan vaksin Pfizer sudah ada diterangkan di laman web KKM dan NPRA, dan risalah maklumat ubat untuk pengguna (Rimup) pula boleh dimuat turun di laman web NPRA.

Lihat Komen
ADS