Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keputusan mahkamah bawa amaran keras pada saluran berita'
Diterbitkan:  Feb 19, 2021 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Tokoh Wartawan Negara A Kadir Jasin berkata keputusan hakim Mahkamah Persekutuan ke atas Malaysiakini pagi tadi mempunyai 'mesej tersirat' buat media di negara ini.

Menulis pandangannya di media sosial A Kadir mengakui bahawa komen yang dibuat mengenai mahkamah boleh mengundang pertuduhan menghina seperti apa yang dialami Malaysiakini.

Katanya keputusan Mahkamah Persekutuan pagi tadi yang mensabitkan Malaysiakini menghina mahkamah dan mendendanya RM500,000 kerana komen yang dibuat pembaca adalah hukuman yang berat.

"Keputusan ini secara tersirat memberi amaran keras kepada saluran berita, khususnya atas talian, bahawa mereka bertanggungjawab (liable) terhadap komen pembaca yang menyusuli laporan mereka," katanya.

A Kadir yang sebelum ini menjadi penasihat media perdana menteri berkata, keadaan itu akan menimbulkan kerumitan kerana komen pembaca tersiar secara automatik tanpa pengarang mempunyai hak untuk menapisnya.

Misalnya kata A Kadir bahan-bahan yang disiarkan melalui aplikasi Facebook yang menyiarkan terus komen pembaca tanpa pengarang atau pentadbir boleh mencelah.

"Pengarang/pentadbir hanya boleh menyekat (komen berkenaan) selepas komen tersiar.

"Selepas itu pembaca tidak lagi mempunyai akses kepada komen yang sudah disekat itu.

"Turut menjadi persoalan sekarang adakah penghakiman 'deterrent' (pencegahan) terhadap Malaysiakini itu akan memberi kesan kepada pengguna perseorangan media sosial," katanya.

Pagi tadi Mahkamah Persekutuan memutuskan Malaysiakini didenda RM500,000 kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembaca pada salah satu laporan disiarkan. Komen itu kemudian dipadamkan oleh Malaysiakini.

Sebelum itu peguam kanan persekutuan mencadangkan kepada mahkamah agar Malaysiakini didenda RM200,000 namun peguam yang portal terbabit, Malik Imtiaz Sarwar memohon maksimum RM30,000. 

Lihat Komen
ADS