Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Malaysiakini tarik perhatian organisasi berita antarabangsa
Diterbitkan:  Feb 20, 2021 9:44 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi komen pembacanya menarik perhatian organisasi berita antarabangsa.

Artikel BBC bertajuk 'The upstart that changed Malaysia's media landscape' yang ditulis oleh wartawan korespondennya, Jonathan Head mengimbas semula sejarah permulaan syarikat media itu.

"Berada di celah kawasan perniagaan di pinggir ibu kota Malaysia Kuala Lumpur adalah markas eksperimen luar biasa dalam bidang kewartawanan. Ia menerima serangan.

"Kejayaan Malaysiakini setakat ini, keberlangsungannya, adalah luar biasa di sebuah negara di mana semua media pernah dikuasai kerajaan, dan di mana kewartawanan bebas dan kualiti kewartawanan menjadi sukar, berbahaya dan sering dipinggirkan, " tulisnya.

Rakan sejawatnya di The Guardian, Rebecca Ratcliffe menyatakan kebimbangan bahawa kebebasan media yang diperolehi setelah kekalahan Umno pada 2018, kini kembali berada di bawah cengkaman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Kebebasan media mulai bertambah baik setelah pilihan raya umum 2018,  apabila Umno yang mentadbir selama 61 tahun, digantikan dengan kerajaan baru.

"Namun, tumbangnya pentadbiran yang membawa pembaharuan pada Februari lalu diikuti dengan cengkaman terhadap kebebasan media.

"Selama setahun terakhir, siasatan jenayah dilakukan terhadap wartawan dan aktivis yang mengkritik kerajaan, termasuk Al Jazeera yang disiasat kerana hasutan setelah menerbitkan sebuah dokumentari mengenai perlakuan negara ini terhadap pekerja asing," menurut artikel The Guardian.

Al Jazeera sendiri menyampaikan berita keputusan tersebut yang menunjukkan ketika Malaysia menaikkan kedudukannya dalam Indeks Kebebasan Akhbar menerusi laporan Reporters Without Borders dalam beberapa tahun lalu, negara ini masih menerima cengkaman kebebasan media.

Dalam keputusannya semalam, Mahkamah Persekutuan mengenakan denda  sebanyak RM500,000 terhadap Malaysiakini  kerana dianggap menghina mahkamah menerusi komen pembacannya.

Bagaimanapun, kutipan sumbangan daripada orang ramai berjaya mengumpul lebih RM500,000 dalam masa kurang lima jam.

Keputusan mahkamah menimbulkan kebimbangan dari kalangan peguam, duta asing, malah daripada Umno sendiri mengenai kesannya terhadap kebebasan bersuara.

New York Times melaporkan berita itu menggunakan tajuk utama: 5 Readers comments just cost a news website AS$124,000.

Manakala ABC News memetik kenyataan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan yang mengatakan keputusan itu akan menyukarkan usaha dalam mengutarakan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

"Ini akan mempengaruhi bukan hanya Malaysiakini. Keputusan itu akan membebankan organisasi media, syarikat dan jutaan pengguna media sosial yang akan memberi kesan menakutkan terhadap kebebasan bersuara di Malaysia."

"Dalam keadaan di mana kita memiliki keghairahan media sosial pada hari ini, sangat penting untuk kita jelaskan, mendidik dan menerangkan, bukannya menghukum organisasi media seperti Malaysiakini," ABC memetik Gan sebagai berkata.

Kes itu juga mendapat liputan organisasi media serantau seperti Straits Times Singapura, Bangkok Post dan Hong Kong South China Morning Post.

Lihat Komen
ADS