Ahmad Zuhri nafi Khairy diejek di mesyuarat Pemuda Titiwangsa
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Ahmad Zuhri Datuk Idris menafikan berlaku ketegangan dan gangguan ketika Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin merasmikan mesyuarat Pemuda Umno bahagian berkenaan pada Sabtu lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Ahmad Zuhri Datuk Idris menafikan berlaku ketegangan dan gangguan ketika Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin merasmikan mesyuarat Pemuda Umno bahagian berkenaan pada Sabtu lalu.
Menurutnya, mesyuarat berjalan lancar dan ucapan Khairy tidak diganggu atau diejek oleh sesiapapun.
Apa yang berlaku katanya hanya "bunyi bising" kerana hadirin terlalu ramai dan terdapat sekumpulan pemuda bercakap sesama sendiri.
Ahmad Zuhri juga menjelaskan mereka yang "membuat bising" itu bukanlah ahli Pemuda bahagian Titiwangsa sebaliknya jemputan dari pergerakan Pemuda Umno bahagian-bahagian lain di Wilayah Persekutuan.
"Mesyuarat ini berjalan dengan lancar dan sempurna dan mereka bercakap di belakang itu bukannya ahli-ahli kami," katanya bagi mengulas laporan yang mengatakan mesyuarat Pemuda Umno Titiwangsa berjalan dalam keadaan tegang hingga ucapan Khairy telah diejek oleh sebahagian ahli pemuda bahagian itu.
Mesyuarat itu berlangsung di Hotel Putra, Jalan Tun Razak, di ibu negara dan dihadiri oleh kira-kira 300 perwakilan dari 87 cawangan dan serta 100 orang pemerhati dan tetamu dari bahagian lain.
Beberapa akhbar berbahasa Cina dan laman web melaporkan Ahad lalu bahawa mesyuarat itu berjalan dengan tegang dengan kehadiran ramai anggota polis berpakaian biasa dan seragam.
Dilaporkan Khairy telah diejek ketika menyampaikan ucapannya.
Nasib Melayu KL?
Sementara itu satu sumber memberitahu malaysiakini mesyuarat Pemuda Tititwangsa menarik perhatian pemerhati kerana beberapa hari sebelum mesyuarat diadakan telah tersebar khabar mengatakan sesuatu "luar biasa" akan berlaku dalam majlis tersebut.
Kononnya ada kalangan Pemuda Titiwangsa mahu menunjukkan protes terhadap Khairy jika beliau menyentuh isu Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam ucapannya.
Ahmad Zuhri yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mendakwa ucapan Khairy berjalan dengan lancar dan para perwakilan mendengarnya dengan teliti.
"Saya boleh katakan Pemuda Titiwangsa menerima baik Khairy. Adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa Pemuda berpecah. Pemuda hanya satu dan mereka menyokong kepimpinan yang ada," katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Zuhri berkata, isu orang Melayu di Kuala Lumpur perlu diketengah dan diselesaikan segera supaya ia tidak menimbulkan masaah yang lebih serius.
Katanya, adalah tidak wajar pihak tertentu hanya memfokuskan kepada masalah Melayu Pulau Pinang tetapi pada masa sama meminggirkan orang Melayu di ibu negara.
"Orang Melayu di Kuala Lumpur yang terlibat dengan perniagaan secara kecil-kecilan pula tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak berkuasa terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
"Ancaman utama kepada mereka ialah ketiadaan tempat berniaga yang sesuai sebagai contoh Pasar Keramat sudah 10 tahun terbengkalai sedangkan pasar raya besar tumbuh bagaikan cendawan," katanya lagi.

