Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis buka siasatan hasutan ke atas Steven Gan, Charles Santiago

Kertas siasatan di bawah Akta Hasutan dan Akta Multimedia dan Komunikasi telah dibuka ke atas kedua-dua Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung komen yang dibuat selepas Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan bahawa dua laporan polis berasingan telah dibuat oleh individu yang sama semalam.

Individu berkenaan mewakili sebuah NGO yang berpusat di Gurun, Kedah.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) untuk hasutan dan Seksyen 233 di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi.

"Pengadu membuat dua laporan berasingan, satu terhadap Steven, satu terhadap YB Charles.

"Kami belum menghubungi mereka, tetapi kami akan segera menghubungi mereka untuk memudahkan siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Pada Jumaat lalu, Malaysiakini didenda RM500,000 atas dakwaan menghina mahkamah oleh Mahkamah Persekutuan. Ia berhubung dengan komen pembaca portal berita itu.

Prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan Gan dimulakan oleh Peguam Negara Idrus Harun berhubung komen yang dibuat oleh pembaca di laman web berita itu

Idrus berkata kedua-dua responden telah menghina mahkamah dengan memfasilitasi komen lima pembaca mengenai satu artikel bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”

Mengetengahkan lima komen, Idrus berkata komen-komen dirujuk dengan jelas membawa maksud badan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.

Keputusan majoriti 6-1 itu tidak boleh dirayu. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman terhadap Gan.

Gan dan Charles adalah antara mereka yang banyak yang meluahkan kenyataan kritikal terhadap keputusan mahkamah itu.

Lihat Komen
ADS