Malaysiakini
BERITA

Koperal polis mengaku tak salah terima rasuah RM1,000

N Faizal Ghazali

Diterbitkan

Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,000 daripada seorang wanita warga Thailand tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Dalam pertuduhan itu, tertuduh merupakan anggota polis yang bertugas Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas didakwa memperoleh rasuah sebanyak RM1,000 daripada Mohammad Salam Ibrahim.

Perbuatan itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Masiyaton Huseng yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memiliki pas sempadan tamat tempoh.

Kesalahan menerima rasuah itu didakwa dilakukan tertuduh di Tasek Raja, Bandar Baru Pasir Mas kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 1 Jun tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Nadia Mohd Nordin.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nor Hamizah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan agar pasport diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon ikat jamin sebanyak RM5,000 kerana anak guamnya perlu menanggung seorang isteri tidak bekerja dan dua orang anak yang masih bersekolah.

"Tertuduh bertugas sebagai anggota polis berpangkat koperal dengan pendapatan sebanyak RM2,900 sebulan selain perlu menjaga seorang ibu mertua yang sedang uzur.

"Anak guam saya juga bersedia untuk dikenakan sekatan ke luar daerah untuk bekerjasama dengan pihak SPRM," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain dikehendaki melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen, manakala tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang dikenakan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.