Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kita guna sempadan daerah pentadbiran, bukan sempadan daerah polis’
Diterbitkan:  Feb 23, 2021 6:33 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Menteri Kanan (Kluster Kerselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini memperjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung aduan orang ramai bahawa mereka disaman kerana pihak polis mengguna pakai sempadan daerah polis dan bukannya sempadan pentadbiran.

Katanya, dirinya sendiri telah memaklumkan kepada polis mengenai sempadan daerah yang digunakan.

"Ada yang mengadu mereka ditahan di sekatan jalan raya, sedangkan mereka masih di dalam daerah yang sama tetapi kerana ia sempadan daerah Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka dikompaun... kita tidak pernah menggunakan daerah polis.

"Kerajaan menggunakan daerah pentadbiran yang diketuai Pegawai Daerah, bukannya daerah polis... kekeliruan ini sudah diperbetulkan, saya sendiri telah memaklumkan pada PDRM.

“Bagi mereka yang telah dikompaun dalam kes-kes sebegini, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah kompaun yang dikeluarkan.

“Saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi kekeliruan selepas ini,” katanya dalam taklimat hariannya, di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook mendakwa anak perempuannya didenda kerana memandu dari Subang Jaya ke Shah Alam walaupun kedua-dua kawasan tersebut berada di bawah daerah Petaling.

Ismail Sabari menjelaskan jumlah kompaun RM1,000 yang dikenakan bagi kesalahan melanggar SOP kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang terkeliru menyangka mereka perlu membayar jumlah tersebut sedangkan mereka boleh membuat rayuan.

Katanya, kompaun itu bukannya tetap, tetapi agak fleksibel berdasarkan rayuan yang dibuat ke pejabat daerah kesihatan.

"Di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), kompaun RM1,000 itu adalah kompaun maksimum... maka sesiapa yang kena kompaun RM1,000, bukan bermakna mereka perlu membayar RM1,000, mereka masih lagi boleh merayu untuk mengurangkan kompaun.

"Sekiranya pejabat daerah bersetuju dengan rayuan itu, mereka boleh mengurangkan jumlahnya menjadi RM50 atau RM100.

"Jumlah RM1,000 adalah nilai maksimum. Pesalah boleh membuat rayuan," katanya," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah mengarahkan hotel ditutup samada di kawasan PKP, PKPB atau PKPP.

"Hotel sentiasa beroperasi, walaubagaimanapun jika ada hotel yang ditutup kerana kekurangan pelanggan dan sebagainya, itu tiada kena mengena dengan arahan kerajaan, malah aktiviti pelancongan sekarang ini di kawasan PKPP dan PKPB telah pun dibenarkan beroperasi," katanya.

Dalam masa sama, beliau menafikan semua perubahan SOP yang dibuat kerajaan adalah 'flip flop' seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya perubahan dibuat berdasarkan keperluan dan situasi semasa.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS