Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanggapan rasuah pada PN boleh jejas pelancaran 5G - Fitch
Diterbitkan:  Feb 24, 2021 12:13 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan spektrum 5G melalui syarikat tujuan khas (SPV) berbanding memberikannya secara langsung kepada pengendali swasta dilihat sebagai satu risiko kepada pasaran.

Fitch Solutions, cabang penyelidikan agensi penarafan kredit Fitch Group, berkata, kemungkinan kurang ketelusan di dalam SPV akan menjejaskan kadar pelancarannya, selain kebimbangan lain seperti kos yang lebih tinggi.

“Tanggapan rasuah dalam kalangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut boleh menjejaskan potensi pelancaran 5G.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bagi memuaskan hati rakan gabungannya, telah memberikan kedudukan penting dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan sokongan politiknya, dan mungkin jawatan eksekutif dalam entiti baru ini akan diberikan kepada sekutu politik.

“Kurangnya penglibatan sektor swasta di dalam SPV turut menimbulkan kebimbangan bahawa kontrak mungkin tidak mengikut proses tender terbuka dan kebertanggungajawban laporan kewangan entiti baru itu mungkin terlepas (daripada) ketelusan," katanya dalam satu kenyataan.

“Ini boleh membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam proses pembangunan, meskipun pengawal selia telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berikrar untuk memastikan operasi SPV itu telus,” tambahnya.

Pelancaran di bawah kerajaan PN nanti, melihatkan spektrum 5G akan dimiliki sepenuhnya dan diuruskan oleh SPV yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Ia akan menyewakan kapasitinya kepada pengendali bagi menawarkan perkhidmatan.

Fitch Solutions berkata ini bertentangan dengan rancangan kerajaan PH terdahulu bagi memperuntukkan spektrum kepada satu konsortium yang terdiri daripada pengendali-pengendali tekomunikasi.

Katanya, rancangan itu satu perubahan ketara berbanding model bidaan pasaran terbuka yang diguna pakai oleh banyak pasaran Asia dalam memperuntukkan lesen dan frekuensi 5G.

“Pelancaran infrastruktur 5G yang diselaras secara berpusat di negara ini - pada hemat kami - akan menjadi tidak cekap dan cenderung menanggung perbelanjaan modal lebih tinggi berbanding pengendali sendiri yang melakukan pengaturan pembangunan dan perkongsian rangkaian mereka.

“Sebelum rancangan baru kerajaan ini, pengendali sendiri perlu mencapai persetujuan antara satu sama lain, termasuk dengan vendor telekomunikasi untuk sama-sama menyebarkan rangkaian dan berkongsi infrastruktur,” katanya.

Pengurusan pandemik yang tidak bagus

Tambah Fitch Solutions, meskipun menambah baik kebolehubungan (connectivity) merupakan keutamaan kerajaan PN, ia berdepan kekangan kewangan.

“Respons kesihatan awam Malaysia terhadap pandemik ini tidak bagus (poor), dengan kerajaan terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Januari ekoran lonjakan kes jangkitan kesan pilihan raya negeri (PRN) Sabah, membawa kepada ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat.

“Pakej rangsangan kewangan baru bernilai sehingga RM15 bilion - untuk subsidi dan pengecualian cukai - mungkin bukan pakej terakhir bagi tahun 2021. Perbelanjaan fiskal selanjutnya, akan meluaskan lagi defisit belanjawan Malaysia,” katanya.

Berdasarkan situasi itu, katanya, adalah lebih baik untuk kerajaan memberi tumpuan terhadap pelancaran infrastruktur fiber.

Dengan hala tuju diambil kerajaan PN, Fitch Solutions berkata ia menyemak semula skor Risiko Industri Telekomunikasi Malaysia daripada 85.6 per 100, kepad 74.9.

Skor yang lebih rendah bermakna risiko yang lebih tinggi.

“Kerajaan PN akan berdepan ujian politik apabila pilihan raya mengejut diadakan selepas perintah darurat ditarik.

“Perubahan kerajaan kemungkinan besarnya menyebabkan perubahan kepemimpinan di dalam SKMM, yang bertanggungjawab mengawasi operasi SPV baru itu.

“Senario seperti itu mungkin menyebabkan perubahan dasar sedia ada dan berpotensi beralih semula ke bidaan spektrum, yang kami lihat sebagai langkah paling berkesan untuk memperuntukkan sumber spektrum 5G yang terhad dalam kalangan pemain industri."

Lihat Komen
ADS