Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah lanjutkan arahan tangguh hantar pulang warga Myanmar

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melanjutkan arahan melarang penghantaran pulang pelarian Rohingya di Malaysia.

Ia susulan tindakan Jabatan Imigresen mengusir 1,086 warga Myanmar semalam ke negara asal mereka.

Hari ini, hakim Mariana Yahya membenarkan lanjutan arahan sehingga 9 Mac. Pada tarikh tersebut, mahkamah dijangka membuat keputuan berhubung satu tindakan undang-undang berkaitan, berkenaan pembatalan keputusan kerajaan untuk menghantar pulang warga negara itu.

Arahan lanjutan itu dikeluarkan terhadap Menteri Dalam Negeri, ketua pengarah Imigresen dan kerajaan Malaysia ketika prosiding pagi ini.

Perkara itu disahkan peguam New Sin Yew yang mewakili Amnesty International dan Asylum Access.

Kedua-dua organisasi hak asasi manusia itu merupakan pemohon bagi semakan kehakiman yang akan diputuskan 9 Mac ini.

Semalam, Jabatan Imigresen mengusir sejumlah 1,086 pelarian Myanmar. Mereka adalah sebahagian daripada 1,200 pencari suaka yang disebut dalam cabaran undang-undang terhadap sebarang penghantaran pulang.

Mereka dibawa pulang dengan menaiki tiga kapal tentera laut Myanmar.

Ia dibuat walaupun mahkamah telah mengarahkan penangguhan sementara penghantaran pulang, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam, M Ramachevam menyifatkan tindakan Imigresen tersebut boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali @ Arwi, yang mewakili tiga responden, turut mengesahkan arahan lanjutan tersebut.

"Penangguhan sementara telah dilanjutkan untuk bagi (pelarian Myanmar) yang tidak dihantar pulang semalam," katanya ketika dihubungi selepas prosiding.

Hanir turut mengesahkan yang mahkamah menetapkan 9 Mac ini bagi memutuskan untuk membenarkan Amnesty International dan Asylum Access meneruskan semakan kehakiman atau tidak.

Malaysia sebelum ini dilaporkan setuju untuk menghantar pulang 1,200 warga Myanmar, di tengah-tengah pergolakan politik dan rampasan kuasa tentera di negara itu.

Pada Sabtu lalu, Free Malaysia Today melaporkan tiga kapal Myanmar, termasuk sebuah yang dikatakan digunakan untuk operasi ketenteraan, tiba di Lumut, Perak.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum ini menggesa Malaysia agar tidak meneruskan hasrat tersebut, sementara beberapa pihak lagi berkata tindakan itu boleh mendedahkan etnik Rohingya dan minoriti lain kepada penindasan.

Untuk rekod, Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian PBB dan mengakategorikan mereka sebagai pendatang tanpa izin.

Pada masa sama, terdapat kira-kira 154,000 pelarian Myanmar di Malaysia.

Penangguhan awal selepas penghantaran pulang

Sementara itu, Hanir berkata, pihaknya memberitahu mahkamah bahawa penangguhan pertama dikeluarkan kira-kira enam jam selepas Jabatan Imigresen menyerahkan warga Myanmar kepada tentera laut negara itu.

Katanya, mereka dibawa pulang pada pukul 7.30 pagi semalam, manakala arahan mahkamah dikeluarkan pada pukul 12 tengah hari.

"Selepas mahkamah membenarkan penangguhan sementara, Pejabat Peguam Negara segera memaklumkannya kepada Jabatan Imigresen.

"Kami juga beritahu mahkamah (hari ini) yang pagi ini kami terima surat daripada Jabatan Imigresen, memaklumkan (1,086) warga Myanmar diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu pada pukul 7.30 pagi, 23 Februari.

"Selepas penyerahan, Imigresen tiada kuasa lagi terhadap mereka yang berada di kapal milik negara lain," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS