Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amanah Ikhtiar jadi tumpuan lepas syarikat swasta dirancang bantu bayar hutang

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sekian lama menerima pengiktirafan antarabangsa kerana banyak membantu masyarakat miskin menerusi pinjaman mikro, namun rancangan yang bakal mengubah struktur amanah itu telah menimbulkan kontroversi.

AIM adalah badan amanah persendirian tetapi telah mendapat sokongan jitu kerajaan sejak ditubuhkan pada tahun 1987. Malah mereka juga menerima pinjaman sebanyak RM857.97 juta daripada kerajaan.

Wakil kementerian pembangunan luar bandar dan wilayah juga duduk dalam lembaga sebagai ahli ex-officio.

Malaysiakini difahamkan bahawa awal bulan ini, terdapat perbincangan ahli lembaga AIM untuk menukar amanah itu kepada syarikat.

Sumber yang mengetahui perbincangan tersebut memberitahu Malaysiakini antara sebabnya kerana, AIM perlu membayar baki hutang kira-kira RM600 juta kepada kerajaan atau ia berisiko diambil alih kerajaan.

Cadangan penyelesaian adalah untuk bergantung kepada Ace Group, sebuah syarikat konglomerat yang menawarkan perkhidmatan kewangan termasuk hartanah, saham dan sebagainya.

Ace Group dikatakan dapat membantu AIM untuk membayar hutang RM600 juta kepada kerajaan, namun sebagai pertukaran, mereka akan menawarkan ekuiti setelah AIM ditukarkan menjadi syarikat.

Bagaimanapun, butiran mengenai jumlah hak milik ekuiti tidak diperincikan dalam mesyuarat.

 

Pengerusi AIM Lajim Ukim, ketika dihubungi mengesahkan perbincangan dengan Ace Group namun tiada sebarang keputusan konkrit dibuat lagi.

Lajim turut menekankan, walau apa pun terjadi, AIM tidak akan lari dari objektifnya untuk memberikan pinjaman mikro kepada golongan miskin.

Kenapa libatkan syarikat swasta?

Bagaimanapun, sumber AIM yang bercakap dengan Malaysiakini mempersoalkan keperluan bergantung dengan syarikat swasta itu.

“Kenapa sekarang? AIM telah beroperasi selama 34 tahun dan kerajaan tidak pernah minta AIM bayar hutangnya sekali gus.

“Dan jika benar, kenapa AIM pilih syarikat swasta untuk bayar hutang dari membenarkan kerajaan ambil alih?” kata salah seorang sumber yang gusar jika perubahan AIM yang dirancang akan memberi kesan kepada peminjam.

Sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perbincangan lembaga pengarah AIM pada 2 Feb itu turut berkata, ahli mesyuarat telah dimaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dan wakil Ace Group telah “bersetuju secara prinsip” kepada rancangan tersebut dalam mesyuarat mereka bersama Lajim.

Beberapa cubaan untuk mendapatkan pengesahan dari Takiyuddin tidak berhasil,  kerana beliau tidak memberi respon kepada permohonan untuk mendapatkan komen.

Untuk rekod, AIM setakat ini telah bayar RM214.87 juta dari RM857.97 juta pinjaman yang diterimanya daripada kerajaan.

Ketika dihubungi, Pengerusi ACE Group Ahmad Fauzi Abdul Razak enggan mengulas lanjut berhubung isu cadangan penyelesaian dan pelan ekuiti.

“Ia masih dalam perbincangan, saya akan dapatkan seseorang untuk hubungi kamu nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Lajim: Syarikat lain juga akan tawarkan bantuan

Sementara itu, Lajim menambah, bukan Ace Group saja terlibat, namun syarikat lain juga ada tawarkan bantuan.

“Ini semua kenyataan tak betul. Saya nafikan. Tiada sebarang keputusan dibuat untuk swastakan AIM.

“Tapi ada beberapa cadangan dari pelbagai pihak untuk adakan kerjasama dengan AIM.

“Tapi kita berpegang pada penubuhan asal AIM, satu daripada program untuk bantu orang miskin untuk dapatkan pinjaman mudah,” jelasnya.

Lajim turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan telah menarik balik pinjaman AIM, meskipun sumber AIM memberitahu Malaysiakini bahawa pembayaran hutang adalah punca cadangan itu dibuat semasa mesyuarat.

Malah, Lajim menambah, AIM sedang mencari rakan usaha sama untuk menjadi bank digital yang dilesenkan Bank Negara.

“Tapi kita tak cukup capital (modal), Bank Negara tetapkan bahawa kita perlu ada RM2 billion.

“Hanya ada enam bank yang diterima Bank Negara. Jika kita dapat melakukan, kita akan bawa syarikat swasta itu bersama menjadi bank digital.

Ini bukan pengambilalihan (oleh syarikat swasta),” kata ahli politik Bersatu itu.

“Jika AIM ada rakan usaha sama pun, mereka (syarikat gabungan) akan masuk dalam perniagaan baru. Skim pinjaman mikro tidak akan diambil alih,” tambah Lajim.

Bebas kemiskinan matlamat AIM

Pada 2018, AIM telah menubuhkan empat syarikat, di antaranya beberapa pemegang saham juga merupakan anggota lembaga amanah.

Ini bertentangan dengan akta amanah AIM kerana statusnya yang bebas cukai tidak membenarkan ia terlibat dalam aktiviti komersial.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa itu berkata, mereka boleh membatalkan pendaftaran AIM susulan tindakannya, namun badan amanah itu memberitahu bahawa pendaftaran itu merujuk kepada anak syarikatnya.

Bagaimanapun, sekiranya AIM menjadi syarikat, ia boleh menjalankan aktiviti komersial tanpa halangan.

 

Pada tahun 2019, pengasas AIM, Sukor Kasim menyorot bahawa dia kesal kerana menurutnya badan amanah itu telah tersasar dari objektifnya. 

Menurutnya, selain terlibat dalam kegiatan komersial, AIM juga telah membayar bonus kepada ahli lembaga, yang juga melanggar akta amanah.

AIM diwujudkan pada bulan September 1987 berikutan kejayaan Projek Ikhtiar, inisiatif yang diterajui oleh dua orang penyelidik di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia - Sukor dan David Gibbons.

Projek penyelidikan, yang dijalankan dari tahun 1986 hingga 1987 untuk mengukur daya maju kredit mikro sebagai kaedah untuk memberi peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar, ternyata berjaya.

Ia diinspirasikan daripada skim mikrokredit diperkenalkan Bank Grameen di Bangladesh, yang telah berjaya melawan kemiskinan di negara itu.

Susulan keberhasilan projek tersebut, Malaysia berusaha untuk mencontohi model yang serupa dengan menubuhkan AIM untuk memberikan skim pinjaman mikro dengan kerajaan.

Ia mempunyai tiga objektif: Menurunkan kadar kemiskinan di kalangan isi rumah miskin berpendapatan rendah dengan menyediakan kredit mikro untuk membiayai aktiviti yang dapat menjana pendapatan; menyediakan kemudahan kewangan, latihan dan bimbingan kepada usahawan dari keluarga miskin; dan melahirkan usahawan di kalangan keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sepanjang tiga dekad beroperasi, badan amanah itu telah membantu sejumlah 939.754 peminjam dengan jumlah penerima dianggarkan lebih 3.75 juta orang.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, AIM menjadi perhatian kerana kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Terbaru, terdapat aduan daripada Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (Kepaim) yang mendakwa, AIM gagal menyerahkan yuran bulanan kepada kesatuan sekerjanya sejak 10 bulan lalu yang berjumlah RM140,000.

Bagaimanapun, Lajim berkata, lembaga AIM telah memutuskan pada mesyuarat 8 Feb lalu untuk memulangkan wang berkenaan kepada Kepaim, namun dakwa beliau badan itu yang enggan berunding dengan AIM.

Lihat Komen
ADS