Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Denda RM10,000 akan undang kemarahan rakyat, kata Najib
Diterbitkan:  Feb 26, 2021 12:32 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Bekas perdana menteri, Najib Razak khuatir keputusan kerajaan menaikkan kadar denda sehingga RM10,000 terhadap individu yang melanggar operasi standard prosedur (SOP) Covid-19 akan mengundang kemarahan rakyat.

Sebaliknya Najib mencadangkan supaya kadar denda dinaikkan secara progresif kerana SOP diperkenalkan kerajaan juga tidak konsisten.

Bagaimanapun kata Najib dia menyokong supaya hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap mereka yang langgar SOP bergantung kepada tahap keseriusan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Saya sokong hukuman yang lebih berat bagi mereka yang langgar SOP Covid namun bukan semua SOP PKP adalah sama serius dan tidak patut dipukul rata.

"Bagi kesalahan yang kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif, bukan untuk memufliskan rakyat.

"Kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP," tulis Najib dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sebagai contoh kata Najib, kadar denda boleh dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 secara berperingkat.

Semalam, kerajaan mengumumkan individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Dalam pada itu, Najib menegaskan bahawa SOP yang diperkenalkan kerajaan perlu konsisten jika kadar denda dikenakan agak tinggi.

"Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati.

"SOP juga patut konsisten dan tidak boleh sering 'flip-flop' sehingga pegawai penguatkuasa dan rakyat pening kepala.

"Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya lagi dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik," kata Najib lagi.

Lihat Komen
ADS