Paling Popular
Terkini

Dua graduan kedoktoran daripada Universiti Monash Malaysia mendakwa mereka kini tidak dapat menjadi doktor pelatih (housemanship) kerana ijazah mereka belum diwartakan di bawah Akta Perubatan 1971.

Mereka memfailkan tindakan undang-undang kepada universiti itu atas dakwaan menawarkan mereka untuk bertukar ke program perubatan baru, ketika di tengah-tengah pengajian mereka.

Ketika dihubungi hari ini, peguam Kiranjeet Kaur Sidhu berkata anak guamnya, Dr Amardas Singh dan Dr Liew Mee Yew telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Februari lalu.

Dia mendakwa ketika anak guamnya di tahun ketiga kursus ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) pada April 2018, wakil universiti menawarkan mereka dan pelajar lain untuk bertukar ke program ijazah kedoktoran baru, iaitu Sarjana Muda Sains Perubatan dan Doktor Perubatan (BMed/Sci MD).

Dia mendakwa kedua-dua plaintif dimaklumkan yang program ijazah baru itu adalah di tahap lebih tinggi dan memiliki status seperti ijazah Sarjana.

Menurut kertas kausa yang difailkan, sebaik mereka menamatkan pengajian pada November tahun lalu, mereka mendapati program baru itu tidak diwartakan dalam Akta Perubatan 1971.

"Pada 16 November tahun lalu, mereka menamatkan kursus dan menerima transkrip akademik untuk program perubatan baru itu.

"Lapan hari kemudian, mereka terkejut apabila dapat tahu yang program itu tidak tersenarai dalam sistem permohonan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), dan belum diwartakan di bawah Jadual Kedua Akta Perubatan 1971," dakwanya.

Dakwanya lagi, oleh sebab itu, kedua-duanya tidak dapat meneruskan latihan housemanship dengan kerajaan Malaysia, yang merupakan syarat sebelum mereka boleh mengamalkan perubatan di Malaysia.

"Anak guam saya daripada kelas dengan lebih 100 pelajar. Mereka kini tidak dapat mengamalkan perubatan kerana ijazah MD (mereka) pada masa ini tidak diwartakan oleh MMC. Jadi anak guam saya menuntut keadilan mahkamah atas penangguhan ini," dakwa Kiranjeet lagi.

Dia menegaskan tindakan undang-undang itu melibatkan kepentingan awam memandangkan ibu bapa kini perlu memeriksa sama ada mana-mana ijazah perubatan telah diwartakan atau tidak, sebelum mendaftarkan anak mereka.

"Ibu bapa menghabiskan banyak wang untuk memastikan anak mereka dapat melanjutkan pelajaran untuk masa depan yang terjamin," katanya lagi.

Kertas kausa turut menyatakan yang dua plaintif tersebut menuntut ganti rugi akibat dakwaan kecuaian, pelanggaran kontrak dan/atau memberi gambaran yang salah (misrepresentation).

Mereka juga menuntut rekod pengajian di Universiti Monash Malaysia tidak terjejas (jeopardised) kerana tindakan sivil yang diambil, kos dan mana-mana relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

'Diakreditasi di Malaysia dan Australia'

Malaysiakini cuba untuk menghubungi Universiti Monash Malaysia untuk respons berhubung tindakan undang-undang ini. Ia dijawab oleh Edelman Public Relations Worldwide Sdn Bhd yang memberi maklum balas bagi pihak universiti.

Syarikat perhubungan awam itu berkata, program ijazah sarjana muda kedoktoran baru universiti itu mendapat akreditasi di Malaysia dan juga Australia.

"Kami maklum dengan kebimbangan yang dibangkitkan graduan berkenaan pendaftaran untuk housemanship dan kami telah berhubung secara terperinci dengan semua graduan yang terlibat.

"Kami telah membincangkan perkara ini dengan pihak yang terbabit untuk menyelesaikan keadaan ini secepat mungkin.

"Sebahagian graduan yang terlibat telah pun dapat mendaftar latihan housemanship mereka," kata syarikat itu lagi.

Pengurusan kes bagi tindakan undang-undang itu ditetapkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mac ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS