Malaysiakini
BERITA

Kumpulan penyelidik, masyarakat sivil gesa k'jaan kongsi data lebih terperinci

Diterbitkan

Sekumpulan penyelidik, badan masyarakat sivil dan badan pemikir meminta kerajaan supaya lebih bersedia dengan data yang dikendalikan, terutama memandangkan kerajaan sedang menangani pandemik Covid-19 ketika ini.

Mereka mengatakan bahawa kerajaan harus berkongsi data yang berkaitan dengan maklum balas Covid-19 dengan lebih tepat waktunya dan lebih terperinci.

Dalam jangka masa panjang, mereka berkata kerajaan perlu berinteraksi dengan kumpulan penyelidik dan saintis data untuk merangka kerangka undang-undang dan dasar yang komprehensif untuk memperkukuhkan tadbir urus data negara sekali gus memastikan hak rakyat dalam memperoleh maklumat.

"Kurangnya keterbukaan dan ketelusan perkongsian data telah menyebabkan banyak spekulasi, maklumat yang salah dan kegelisahan di kalangan orang ramai ketika berdepan dengan Covid-19.

“Meskipun terdapat pengumuman harian oleh Kementerian Kesihatan, angka-angka yang dimaklumkan tidak memberikan maklumat yang cukup bagi rakyat Malaysia untuk membuat pilihan tepat. Nama yang samar-samar yang diberikan bagi kluster sedia ada tidak berapa membantu, pada masa sama format pengumuman juga membuatkan keadaan Covid-19 sukar dikesan.

"Kami faham yang usaha kesleuruhan masyarakat diperlukan untuk memerangi Covid-19, tidak hanya di sektor kesihatan tetapi juga sektor sosial dan ekonomi.

"Dengan berkongsi data Covid-19 dan data sosio-ekonomi yang lebih terperinci dan pada tepat waktunya, kerajaan juga dapat melibatkan lebih banyak kerjasama dari masyarakat sivil, badan pemikir, penyelidik dan media untuk menyediakan analisis dan maklum balas.

"Begitu juga, ketelusan data yang lebih mendalam dapat bantu mendedahkan kepalsuan beberapa mitos dan dakwaan mengenai usaha kerajaan dalam menangani penyebaran Covid-19 dan kemerosotan ekonomi akibat wabak itu," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh 19 organisasi termasuk Research for Social Advancement (Refsa), Institute of Democracy and Economic Affairs (Ideas), Center for Independent Journalism, Center for Governance and Political Studies Malaysia Health Coalition, Undi18, and Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia.

Ia juga ditandatangani oleh 47 individu termasuk ahli akademik, penganalisis, dan aktivis.

Mereka mengatakan bahawa mereka menyedari usaha pemerintah untuk menjadikan data lebih mudah diakses dengan penubuhan portal data.gov.my pada tahun 2014.

Bagaimanapun, data sedia ada selalunya tidak lengkap, tidak terkini, atau kurang terperinci.

“Pengurusan data di Malaysia juga dipecahkan kepada seluruh kementerian dan agensi,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia berada di kedudukan 53 dari 115 negara dalam edisi terkini (2016) World Wide Web Foundation's Open Data Barometer, yang menilai negara berdasarkan beberapa ukuran keterbukaan data.

Ia turut mencatatkan Malaysia di belakang beberapa negara di Asia Tenggara, iaitu Filipina (kedudukan ke-22), Singapura (23), Indonesia (38).

Namun, Malaysia berada di kedudukan yang sama dengan Thailand (53), dan mendahului Vietnam (79) dan Myanmar (113).

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.