Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM ingatkan penjawat awam tak sentuh dasar, program k'jaan di media sosial
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan para pegawainya untuk tidak membuat kenyataan mengenai dasar, program, atau keputusan kerajaan tanpa mendapatkan persetujuan dari kementerian tersebut.

Kementerian itu merujuk pada kenyataan yang beredar di media sosial mengenai pelaksanaan program vaksin yang dikatakan ditulis oleh petugas kesihatan KKM.

"Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej pegawai sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa peraturan mengenai etika dalam mengeluarkan pernyataan di media sosial bukanlah untuk menghalang pegawai KKM bersuara.

Sebaliknya, kata KKM, ia untuk memastikan bahawa pegawai menggunakan saluran yang tepat untuk membuat aduan dan sekali gus menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam serta kerajaan.

"Setiap pegawai di KKM dari semasa ke semasa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial serta menjaga batas-batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salah laku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib.

"KKM memandang serius berhubung dengan salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai membuat pernyataan awam secara tidak wajar.

"Setiap kes yang diadukan atau dikenal pasti sekiranya sabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan

kepada peraturan yang berkuat kuasa," kata kenyataan itu lagi.

Baru-baru ini, doktor perunding dan ahli nefrologi Dr Rafidah Abdullah berkongsi paparan mesej yang mendakwa bahawa pegawai dari pejebat setiausaha negeri (SUK) Kelantan telah berusaha untuk memotong barisan vaksinasi Covid-19.

Susulan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin meminta pemberi maklumat untuk tampil membuat aduan sekiranya ada pihak memotong barisan vaksinasi.

Bagaimanapun, Exco kesihatan Kelantan Dr Izani Husin menafikan dakwaan itu dan mengatakan bahawa tuduhan itu telah mencemarkan imej kerajaan negeri.

Laporan polis juga telah dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

Lihat Komen
ADS