Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakim tarik diri dari dengar rayuan berhubung kes liwat Anwar

Seorang hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar rayuan Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula ketua pembangkang itu berkaitan sabitan dalam kes liwat 2.

Kamaludin Md Said hari ini memilih untuk menarik diri daripada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Anwar.

Ini bukan kali pertama Kamaludin menarik diri daripada kes melibatkan Anwar.

Pada 2017, hakim itu juga menarik diri daripada mendengar permohonan presiden PKR itu untuk mencabar Lembaga Pengampunan yang menolak petisyennya bagi sabitan liwat

Sebelum menjadi hakim, Kamaludin adalah salah seorang timbalan pendakwa raya dalam kes liwat 1 membabitkan Anwar yang didakwa meliwat Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Kamaludin juga mewakili kerajaan sebagai peguam kanan dalam salah satu kes membabitkan Anwar pada tahun 2010.

Mahkamah Rayuan hari ini pada awalnya ditetapkan mendengar rayuan Anwar berhubung kes saman terhadap kerajaan berkaitan kes liwat 2.

Kes liwat 2 melibatkan dakwaan bahawa Anwar meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia mendakwa dia tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Semasa prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini yang dilakukan secara dalam talian melalui zoom, peguam utama Anwar, Gopal Sri Ram menarik perhatian hakim kepada fakta bahawa Kamaludin pernah mewakili pihak lawan dalam kes perundangan melibatkan Anwar.

Hakim itu kemudian berkata adalah wajar baginya melepaskan diri daripada pendengaran hari ini.

Peguam kanan persekutuan Suzana Atan, yang hadir mewakili kerajaan hari ini, berkata mereka menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Kamaludin perlu mengundurkan diri.

"Kami menyerahkannya kepada mahkamah. Yang Arif (hakim Kamaludin) terlibat dalam banyak kes yang melibatkan Anwar," katanya.

Peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili peguam Muhammad Shafee Abdullah (pencelah dalam rayuan Anwar) berkata mereka juga menyerahkannya kepada mahkamah untuk memutuskan perkara itu.

"Dengan demikian, saya tidak akan mendengar kes ini," kata Kamaludin.

Dua panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini ialah Has Zanah Mehat dan Ahmad Nasfy Yasin. 

Mahkamah kemudian mengosongkan tarikh rayuan Anwar yang dijadualkan hari ini dan menetapkan hari ini bagi pengurusan kes selanjutnya bagi memutuskan hakim baru untuk menggantikan Kamaludin.

Anwar mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang membatalkan samannya terhadap kerajaan.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 9 Jun 2017, Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Dia juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai terbatal dan tidak sah.

Melalui afidavit, Anwar mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitan kes liwatnya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar bersalah dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Saiful. 

Bagaimanapun, Anwar diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Pada 8 Nov 2017 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman pemulanya, dengan alasan ia tidak mempunyai kuasa tindakan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Anwar kemudian membuat rayuan berhubung perkara itu.

Mahkamah Rayuan juga menetapkan untuk mendengar permohonan Shafee bagi memadamkan afidavit yang mengandungi tuduhan bahawa peguam itu menerimasebanyak RM9.5 juta.

Afidavit itu, yang difailkan oleh bekas pegawai tugas- tugas khas kepada bekas peguam negara, Siti Rahayu Mohd Mumazani, mendakwa RM9.5 juta itu dibayar kepada Shafee dari akaun bank Najib antara tahun 2013 dan 2014.

Najib ketika ini berdepan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS