Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terselamat hukuman gantung: Rakyat Malaysia kongsi perasaan

“Bangun pagi ini tangan saya menggeletar,” luah Beh Chew Boo, rakyat Malaysia yang terselamat daripada hukuman gantung selepas bebas daripada kesemua lima pertuduhan membawa dadah ke Singapura.

Bernama berkesempatan bertemu pemuda berusia 38 tahun yang berasal dari Pulau Pinang pada hari kedua pembebasannya dan kelihatan beliau masih belum dapat menerima kenyataan bahawa beliau sudah bebas daripada semua pertuduhan itu.

Beh yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada awal 2020 terselamat daripada hukuman berat itu pada Oktober selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Singapura menerima rayuannya.

Pada 2 Mac lalu, panel hakim yang sama - Sundaresh Menon, Tay Yong Kwang dan Steven Chong - turut mengetepikan permohonan pihak pendakwaan untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan terhadap Beh.

Panel tiga hakim itu membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada Beh.

“Bayangkan selama lebih empat tahun saya tidur di penjara tetapi malam tadi saya tidur atas katil hotel. Ia seperti ini,” katanya sambil membuka tangan menggambarkan ia ibarat bagai "langit dengan bumi".

Bapa kepada seorang anak itu yang murah dengan senyuman kelihatan tidak putus mengucapkan penghargaan kepada peguamnya yang turut membantu menguruskan dokumentasi membabitkan perjalanan pulang Beh ke tanah air.

Peguam Wong Siew Hong dari tetuan Eldan Law LLP turut menyediakan tempat tinggal sementara untuk Beh di sebuah hotel, pakaian serta wang perbelanjaan sehingga semua urusan kepulangannya selesai.

Ditanya adakah beliau berasa lega, Beh tidak menjawab secara tepat tetapi beliau menyatakan beliau kini tahu apa perasaannya jika orang bercakap mengenai saat menunggu kematian.

“Saya pernah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Hanya kami yang melaluinya faham perasaan menghitung hari hingga saat itu tiba,” katanya.

“Kematian itu pasti berlaku kepada kita semua walaupun berada di luar penjara tetapi kamu tidak tahu bila. Tetapi kami tahu dan perlu berperang dengan perasaan itu,” katanya.

Beh juga turut mengakui beliau berasa sangat ‘asing’ terutama terhadap perubahan teknologi selepas terkurung di dalam penjara selama kira-kira 52 bulan.

“Terlalu banyak perubahan. Saya seperti berada dalam dunia lain. Ada juruwang memandang saya dengan wajah yang pelik kerana saya cuba membuat pembayaran secara tunai. Mereka bertanyakan sama ada saya memiliki kad tunai,” katanya.

Beh turut menunjukkan telefon bimbitnya yang digunakan empat tahun lepas yang perlu dikemas kini sistemnya kerana beberapa aplikasi tidak lagi boleh digunakan termasuk WhatsApp dan WeChat.

“Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan semua peraturan berkaitan COVID-19,” katanya apabila ditanya mengenai rancangannya apabila pulang ke Pulau Pinang dan sempat bertanyakan kepada penulis perkembangan terkini di Malaysia.

Beh ditahan pada Oktober 2016 atas dakwaan cuba membawa masuk tidak kurang 499.97 gram methamphetamine dari Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Beh memasuki republik ini dengan menunggang motosikal milik rakannya yang didaftarkan di Malaysia.

Dadah yang dirampas mengandungi tidak kurang dari 742.82gram serbuk kristal, yang selepas dianalisis, ia didapati mengandungi tidak kurang dari 499.97gram methamphetamine.

Beh dalam pembelaannya mendakwa dia tidak mengetahui terdapat dadah di tempat penyimpanan motosikal itu.

Dia dijangka pulang ke kampung halamannya di Batu Kawan, Pulau Pinang, pada Khamis (11 Mac).

- Bernama

Lihat Komen
ADS