Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi memohon untuk membatalkan perintah injunksi (larangan sementara) terhadapnya yang diperoleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan di Facebooknya.

Fuad mengajukan permohonan itu pada hari Jumaat minggu lalu untuk mengetepikan perintah berkenaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Mac.

Pada hari itu (1 Mac), Muhyiddin, yang menuntut atas kapasiti peribadinya, memperoleh perintah larangan sementara selama 21 hari untuk Puad memadam catatan Facebook yang menjadi perikaian dalam tuntutan itu.

Perintah 21 hari itu berkaitan dengan saman fitnah Muhyiddin terhadap Puad.

Pada 1 Mac, perintah yang dikeluarkan adalah ex-parte, di mana hanya pasukan undang-undang plaintif yang hadir ketika membuat penyerahan di mahkamah.

Susulan perintah itu, Puad pada 4 Mac dilaporkan mengatakan bahawa dia sedang dalam proses untuk mematuhi perintah mahkamah.

Menurut salinan permohonan mengenepikan perintah itu yang dilihat oleh Malaysiakini, Puad mendakwa bahawa Muhyiddin tidak mempunyai dasar undang-undang dan fakta untuk diberi perintah larangan sementara.

"Tiada pendedahan penuh dan terus terang (full and frank disclosure) oleh Plaintif dalam mendapatkan Perintah Injunksi Ex-parte bertarikh 1 Mac 2021," katanya.

"Perintah Injunksi Ex-parte bertarikh 1 Mac 2021 adalah tidak jelas

(vague), samar (ambiguous) dan bersifat menindas (oppressive)," tambahnya.

Defendan juga berpendapat bahawa ganti rugi adalah remedi yang mencukupi (sekiranya plaintif memenangi tuntutan saman fitnah kelak).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Puad, Shahrul Fazli Kamarulzaman mengesahkan bahawa Puad mengemukakan permohonan itu pada hari Jumaat minggu lalu.

Peguam itu menambah bahawa permohonan anak guamnya sekarang adalah berbeza dengan permohonan yang ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Pada hari Jumaat ini, hakim Mohd Firuz Jaffril dijadualkan untuk mendengar hujah pihak Muhyiddin (di mana kedua-dua pasukan undang-undang plaintif dan defendan akan berhujag di hadapan pengadilan) berhubung permohonan injunksi terhadap Puad berkaitan dengan kenyataannya di Facebook.

Di bawah undang-undang, perintah ex-parte ketika ini hanya akan berakhir pada 21 Mac, kecuali jika diganti dengan perintah inter-partes oleh mahkamah.

"Kami juga telah memberikan salinan permohonan anak guam kami untuk mengenepikan perintah itu kepada pasukan undang-undang plaintif," kata Shahrul.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pasukan undang-undang Muhyiddin mengenai perkara itu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Muhyiddin telah mengeluarkan surat tuntutan terhadap Puad berhubung dengan catatan Facebook yang menuduh wujud pilih kasih dalam prosedur Covid-19. Catatan Facebook itu dimuat naik pada 9 Februari.

Lihat Komen
ADS