Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa 1,823,431 orang pekerja asing yang ada di negara ini sekarang tidak mendatangkan masalah sosial termasuk jenayah.

Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim berkata, yang mendatangkan masalah sosial termasuk jenayah berat seperti membunuh ialah pendatang tanpa izin.

Menurut beliau, untuk memastikan pekerja asing menjalankan tugas di negara ini dengan baik, mereka disaring tapis oleh agensi pekerjaan di negara mereka sebelum dibawa masuk ke sini dan dipantau oleh pihak berkuasa bila sudah berada di Malaysia.

" Kerajaan terus memantau dari masa ke semasa bagi memastikan semua peraturan itu dipatuhi, katanya ketika menjawab soalan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) mengenai masalah sosial dan jenayah membabitkan pekerja asing.

Menurut beliau lagi, para pekerja berkenaan melalui proses penapisan termasuk menjalani kursus induksi di negara mereka dan diwajibkan menggunakan sistem biometrik semasa memasuki negara ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata pekerja asing itu juga perlu mempunyai pekerjaan yang telah diatur selain menjalani pemeriksaan perubatan sebelum mula bertugas.

Abdul Rahman menambah, berkata sekurang-kurangnya 22 negara membekalkan pekerja ke negara ini dalam pelbagai sektor terutamanya perkilangan, pembinaan dan prladangan.

"Lima buah negara yang paling ramai sekali menghantar pekerja untuk bekerja di sini ialah Indonesia (1,172,990 orang), Nepal (199,962 orang), India (130,768 orang), Vietnam (96,892 orang) dan Bangladesh (64,156 orang)," katanya.

Mereka dibawa masuk ke dalam negara melalui 146 buah syarikat yang diberi kelulusan untuk menjalankan perkhidmatan membekal dan mengurus pekerja asing.

Ketika menjawab soalan Abdul Fatah Harun (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat pula, beliau berkata jumlah pekerja asing yang direkodkan sehingga akhir Julai lepas ialah seramai 1,823,431 orang.

Menurut beliau mereka berkerja dalam sektor perkilangan, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan perladangan serta pembantu rumah.