story image
mk-logo
Berita
Polis akan rekod keterangan individu dakwa 200 ahli SUK Kelantan potong barisan vaksin

Polis akan mengambil keterangan individu yang dipercayai menyebarkan dakwaan kakitangan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan yang cuba memotong barisan sebagai penerima awal suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya telah menghubungi suspek berkenaan yang berada di Putrajaya untuk menetapkan tarikh bagi merekodkan keterangannya itu.

"Dalam siasatan setakat ini, polis juga sudah mengambil keterangan daripada tujuh saksi," katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 2 di Kota Bharu, hari ini.

Pada 3 Mac lepas, Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Mohamad Taufik Ramli membuat laporan polis berhubung perbuatan individu yang menyebar maklumat kononnya '200 ahli SUK Kelantan' cuba memotong barisan sebagai penerima vaksin COVID-19.

Sebelum ini, tular di media sosial antaranya Twitter yang memaparkan tangkap layar mesej mendakwa suntikan vaksin COVID-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada '200 ahli SUK'.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata polis juga menerima laporan berhubung gambar tular memaparkan pembonceng dan penunggang motosikal yang merupakan pelajar sekolah menengah yang memakai seragam sekolah dengan diconteng tulisan berunsur lucah mempersendakan guru.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan kedua-dua pelajar terlibat sudah diambil keterangan...jadi kita akan tunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan," katanya.

Ditanya mengenai tahap kepatuhan SOP di sekolah di seluruh Kelantan, Shafien berkata berdasarkan beberapa laporan yang diterimanya, sekolah di negeri itu mematuhi SOP yang ditetapkan sejak ia dibuka semula minggu lepas.

"Bagaimanapun, saya juga akan turun ke sekolah-sekolah dengan lebih kerap untuk memantau pematuhan SOP di sekolah," tambahnya.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS