Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘PAS kalau sokong Bersatu bertanding di kerusi Pasir Salak, kau siap’
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran keras kepada rakan-rakan sekutu Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS agar tidak membantu Bersatu di kerusi yang ditandingi Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut ahli parlimen Pasir Salak itu, meskipun Umno menghormati keputusan PAS untuk masih bersama Bersatu, namun, partinya juga berharap PAS akan juga kekal menyokong Umno.

“Mungkin ada formulanya yang dia (PAS) bersama dengan Bersatu tetapi tak susahkan Umno, iaitu di mana Umno bertanding, jangan kau (PAS) tolong pula Bersatu bantai kita. Itu maksud saya.

“Kalau dia tengok Bersatu bertanding di Bukit Bintang, sokonglah sebab Umno tak tanding. Bersatu nak tanding Kepong, tandinglah, PAS nak turun ramai-ramai berkempen untuk Bersatu pun tiada yang halang.

“Tapi kalau Pasir Salak, Bersatu tanding, PAS jangan sokong Bersatu. Kalau sokong kau siap. Warning tu,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di depoh Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, semalam.

Tajuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu kerjasama Bersatu, PAS dan Umno diteruskan selepas PRU15.

Sebelum ini, Umno mengesahkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang PRU15.

Susulan itu Bersatu mengadakan mesyuarat majlis pimpinan tertingginya (MPT) bagaimanapun tidak memutuskan secara jelas mengenai hubungan parti itu dengan Umno.

Meskipun hubungan kedua-dua parti itu kian tegang, PAS meletakkan kedudukannya dalam kedua-dua parti terbabit, masing-masing melalui Muafakat Nasional (MN) dengan Umno dan PN bersama Bersatu.

Dalam perkembangan berasingan, Tajuddin juga meminta ahli partinya supaya menghormati keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Dia berkata demikian setelah melihat segelintir bahagian Umno yang masih menyatakan sokongan ke atas Muhyiddin.

“Pada masa yang sama kena ingat, Umno yang letakkan Bersatu jadi ahli parlimen sampai jadi menteri. Jadi kesetiaan kepada president parti kena ada.

“Tapi yang susah kerana ada yang tak sokong parti dan lebih sokong Muhyiddin.

“[...] Kalau nak jaga Umno ikutlah keputusan presiden dan keputusan parti,” katanya dalam satu majlis perjumpaan pengarah pilihan raya Umno bersama biro politik Umno bahagian Tangga Batu pada 6 Mac lalu.

Untuk rekod, Umno Perlis dan Sabah baru-baru ini menyatakan akan meneruskan kerjasama dalam PN.

Bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa pula membayangkan lebih banyak lagi Umno peringkat bahagian dan negeri akan mengambil pendirian serupa, sekali gus mencerminkan perpecahan yang berlaku dalam Umno kini.


Lihat Komen
ADS