Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rentas negeri bersyarat bagi sektor pelancongan di negeri PKPP
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 6:15 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri bersyarat untuk aktiviti pelancongan di negeri-negeri yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), mulai esok.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kebenaran itu hanya untuk individu dari negeri yang berada di bawah PKPP menuju ke negeri yang juga berada di bawah PKPP dengan menggunakan agensi pelancongan.

Perjalanan sendiri tidak dibenarkan.

"Mereka harus menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan yang berdaftar di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya," katanya.

Tambah Ismail, perjalanan rentas negeri itu juga perlu menggunakan kenderaan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Negeri yang berada di bawah PKPP ketika ini ialah Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis.

Mengulas lanjut, Ismail memberi contoh dengan mengatakan bahawa seorang individu dari Putrajaya, yang kini berada di bawah PKPP, boleh mengunjungi negeri Melaka yang juga berada di dalam PKPP. Namun, individu berkenaan tidak dibenarkan berhenti di Negeri Sembilan, yang bukan berada di bawah PKPP.

Kelonggaran terbaru ini hadir selepas negara mencatat kes harian Covid-19 di bawah paras 2,000 selama tiga hari berturut-turut.

Keputusan berkaitan dengan industri pelancongan itu dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, katanya.

Tambah Ismail lagi, keputusan itu dibuat selepas MKN mendengar berhubung cadangan pelaksanaan gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik yang terkawal daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Sementara itu, kata Ismail, pelancong perseorangan tidak perlu meminta izin polis kerana ia akan ditangani oleh agensi pelancongan.

"Syarikat agensi pelancongan perlu mendapat kebenaran pihak PDRM untuk pergerakan rentas negeri.

"Perjalanan mestilah terus ke negeri PKPP dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana negeri PKPB.

"Tempat penginapan telah ditetapkan dan aktiviti-aktiviti

pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal," katanya.

Lihat Komen
ADS