Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kluster mahkamah’ benteng barisan pertahanan terakhir Umno - Zahid
Diterbitkan:  Mar 10, 2021 12:42 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

"Kluster mahkamah" adalah istilah yang merujuk kepada beberapa pemimpin Umno yang berdepan tindakan mahkamah atas pertuduhan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Pemimpin Umno itu digambarkan oleh lawan mereka sebagai dalam usaha terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri dari disabitkan kesalahan berkenaan.

Di antara pemimpin Umno yang digolongkan dalam kumpulan ini, terutamanya oleh Bersatu, adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tetapi Ahmad Zahid, yang berdepan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, hari ini tampil dan menyanggah dakwaan itu.

Istilah itu semakin banyak dilemparkan, termasuk di kalangan pemimpin Umno, yang menyaksikan parti semakin retak berhubung isu apakah mereka harus bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

"Kluster mahkamah" didakwa mempelopori usaha untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Ahmad Zahid, dalam satu catatan di Facebook, mengakui serangan itu dan melabel lawannya yang berkeras untuk tetap bersama Bersatu. Mereka digambarkan sebagai pemimpin yang takut kehilangan kedudukan mereka dalam kerajaan.

“Mereka kata 'kluster mahkamah' sila berundur konon demi selamatkan Umno. Tetapi hairan rata-rata mereka ini penyokong 'kluster kuasa'. Mereka yang anti-Umno.

“'Kluster cari makan' yang juga dikenali sebagai 'kluster broker' tambah garam. Mujur ahli dan penyokong Umno dapat hidu tipu muslihat kluster-kluster ini,” katanya.

Dia menggambarkan "kluster kuasa" sebagai mereka yang takut kehilangan kuasa dan "kluster broker" sebagai mereka yang takut kehilangan jawatan masing-masing.

Beberapa pemimpin Umno, yang telah dilantik sebagai menteri, telah berusaha meyakinkan Ahmad Zahid dan sekutunya untuk tidak berpecah dengan Bersatu kerana ini akan menyaksikan pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

Namun, bagi mereka di sekeliling Ahmad Zahid, pemimpin Umno berkenaan sebenarnya adalah penyokong Bersatu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata "kluster mahkamah" sebenarnya adalah benteng barisan pertahanan terakhir Umno.

“Lagipun lebih 3 juta ahli dan penyokong Umno tahu 'kluster mahkamah' inilah 'last defend' Umno.

“Mereka tahu sebab itu 'kluster kuasa' dan 'kluster broker' bersungguh-sungguh menghasut. Berusaha meracuni fikiran mereka supaya menolak pemimpin 'kluster mahkamah’,” katanya

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata pemimpin Umno yang sedang dibicarakan adalah sebagai mangsa, dengan menyatakan bahawa sesiapapun yang memimpin Umno berpotensi dijadikan ‘kluster mahkamah’ di masa depan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebelum ini mengakui bahawa Umno tidak senang dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang enggan menggugurkan pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atas pemimpin Umno ketika Pakatan Harapan berkuasa.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Umno Rembau Khairy Jamaluddin, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, berkata, kenyataan Ahmad itu tidak mewakili kedudukan parti tersebut.

Selain Ahmad Zahid, pemimpin Umno lain yang berdepan kes rasuah termasuk Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu pada Julai tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Pada Disember tahun lalu, Tengku Adnan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta kerana kesalahan rasuah.

Kedua-dua pemimpin itu sedang merayu terhadap hukuman masing-masing.

Lihat Komen
ADS