Persepsi negatif seperti didakwa menawarkan kegiatan pelacuran antara cabaran dihadapi pengusaha spa dan pusat refleksologi yang sah sehingga sering terlepas pandang daripada perhatian kerajaan.
Sehubungan dengan itu lebih 300 pengusaha spa dan refleksologi yang menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 30,000 pekerja meminta kerajaan memberikan layanan yang lebih adil kepada mereka, terutama dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19.
"Lebih daripada 100 pusat spa dan refleksologi telah ditutup sehingga 31 Disember 2020. Ini tidak termasuk pengendali industri bakal gulung tikar dalam PKP 2.0 ini kerana tiada bantuan daripada mana-mana pihak.
"Apa yang kami minta adalah layanan yang adil daripada kerajaan sama seperti industri yang lain," kata Ahli Jawatankuasa The Association of Malaysian SPAs (Amspa), Su En Kam kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Su berkata disebab segelitir rumah urut dijadikan sarang pelacuran, pengendali spa dan pusat refleksologi turut dipandang serong.
Sedangkan katanya, mereka merupakan pengendali yang sah dan menerima sijil penilaian daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai salah satu syarat untuk beroperasi.
"Setiap dua tahun sekali Motac membuat pemeriksaan setiap premis yang didaftar di bawah kementerian tersebut. Penilaian spa merangkumi kebersihan, pengetahuan dan simpanan produk serta latihan dan kepakaran kakitangan," katanya.
Justeru itu dia mencadangkan kerajaan hanya membenarkan premis yang mempunyai sijil berkenaan untuk beroperasi, sekali gus dapat mengurang pusat-pusat pelacuran.
Cadangan Su turut disokong Naib Presiden 1, Malaysian Association of Wellness and Spa (Mawspa) Gavin Foo yang mengatakan kebanyakan ahli terapi spa adalah warga Bumiputera dari Malaysia Timur
"Hanya kerana persepsi negatif, sebilangan ibu tunggal dan orang kurang upaya seperti buta, pekak dan bisu yang pernah bekerja sebagai ahli terapi hilang pekerjaan kerana premis ditutup. Mereka juga menghadapi cabaran untuk menceburi bidang lain kerana tiada kemahiran.
"Maka kami minta Motac menjalankan kempen untuk menukar pemikiran orang ramai mengenai SPA dan pusat kesihatan," katanya.
Sementara itu, Su meminta agar sektor itu tidak dipinggirkan daripada mendapat bantuan kerajaan.
"Sebagai contoh, baru-baru ini permohonan pinjaman oleh beberapa pengusaha spa di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ditolak atas alasan tidak patuh syariah.
"Kalau salon rambut, pusat urut tradisional dan pusat ayurvedic boleh menerima bantuan dan faedah lain, kenapa tidak kami?" soalnya.
Untuk rekod, SPA dan pusat refleksologi menyumbang kira-kira 15 peratus daripada pendapatan RM84 bilion dalam sektor pelancongan pada tahun 2019 dengan pendapatan sebanyak RM7 bilion.
Namun sektor itu mengalami kerugian sebanyak RM3.5 bilion dari Jan hingga Jun 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
