Gerakan mahu Umno Kepong tutup mulut
Parti Gerakan hari ini membidas Umno Bahagian Kepong kerana meminta peruntukan kerusi parlimen Kepong yang diperuntukkan kepada parti itu diserahkan kepada MCA.
Parti Gerakan hari ini membidas Umno Bahagian Kepong kerana meminta peruntukan kerusi parlimen Kepong yang diperuntukkan kepada parti itu diserahkan kepada MCA.
Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye meminta semua pihak berhenti membuat sebarang permintaan berhubung peruntukan kerusi pilihanraya kerana ia akan menghalang semangat dan kerjasama Barisan Nasional (BN) di kalangan parti komponen.
Beliau berkata parti komponen BN harus saling membantu calon BN untuk memenangi kerusi pilihanraya tanpa mengira parti komponen mana seseorang itu dicalonkan.
"Jangan buat andaian siapa yang lebih kuat. Tiada siapa boleh menilainya. Jangan lupa konsep dan semangat BN sebagai pakatan yang rasmi. Kami berada dalam pakatan yang formal dalam perkongsian kuasa," katanya.
Beliau mengulas permintaan Umno bahagian Kepong semalam yang meminta peruntukan kerusi Parlimen kawasan Kepong yang selama ini ditandingi Gerakan diberikan kepada MCA pada pilihanraya umum akan datang.
Menurut laporan Bernama, kerusi tersebut kini dipegang oleh Dr Tan Seng Giaw dari DAP.
Peruntukan kerusi
Chia yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata Gerakan tidak mensasarkan kerusi mana-mana parti komponen kerana sebagai parti komponen BN, mereka harus memberi tumpuan kepada keupayaan mengekalkan kerusi dan merayakan kemenangan BN pada setiap kali pilihan raya.
"Jika mana-mana parti mensasarkan kerusi orang lain, maka tidak wujud keamanan. Kami diberi peruntukan kerusi dan tanggungjawab. Kenapa pandang kerusi orang lain? Kami tidak meminta kerusi tetapi sebaliknya saling membantu kerana pada akhirnya, yang penting ialah calon BN," katanya.
Ketua Umno Bahagian Kepong Senator Datuk Rizuan Abdul Hamid berkata Gerakan telah mengalami kekalahan di kerusi Parlimen Kepong sejak beberapa pilihan raya lalu selepas hanya memenanginya sekali.
Beliau mendakwa Gerakan di Kepong adalah lemah dan hanya mempunyai 15 cawangan dengan 3,500 anggota berbanding MCA dengan 22 cawangan dan 10,000 anggota.
Rizuan menyerahkan permintaan bahagian itu menerusi satu memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mesyuarat perwakilan bahagian itu di ibunegara semalam.
Najib berkata permintaan menggantikan atau menggilirkan calon pilihanraya bagi kerusi Parlimen tertentu perlu mengambil kira persetujuan semua parti dalam BN dan masih ada masa untuk pilihanraya akan datang.

