Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Usaha kawal naratif' - MP kecam Ordinan Darurat berkaitan berita palsu

Ahli Parlimen pembangkang mengkritik Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang berkuat kuasa esok sebagai percubaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengawal naratif di media.

"Sekali lagi terbukti yang darurat tiada kaitan dengan wabak Covid-19 tetapi untuk meneruskan kerajaan Muhyiddin Yassin yang lemah.

"Tindakan kerajaan 'pintu belakang' menggunakan darurat sebagai usaha pintu belakang mengembalikan undang-undang yang hampir sama dengan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah dimansuhkan kerajaan PH sangat dikesali," kata Ahli Parlimen Setiawangsa daripada PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Malaysiakini.

Akta Antiberita Tidak Benar diluluskan kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak tidak lama sebelum PRU14. Ia dimansuhkan pada Oktober 2019.

Menurut warta kerajaan yang dikeluarkan hari ini, ordinan tersebut bertujuan mengekang "berita tidak benar" berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat. Ia dilihat memberi kuasa besar kepada kerajaan terhadap berita yang disifatkan tidak benar.

Menurut warta itu, mana-mana pihak yang "mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan" berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.

Mereka yang disabit bersalah "mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan" berita tidak benar boleh dihukum tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago pula berkata kini kerajaan yang berkuasa menentukan apakah berita yang benar dan sebaliknya.

"Dengan cara ini, mereka akan mengawal naratif. Perkembangan ini, jika dilihat bersama dengan keputusan mahkamah terhadap Malaysiakini, merupakan tamparan besar buat kebebasan bersuara dan fikiran bebas di negara ini," katanya.

Bagi Charles, kerajaan hanya mengambil langkah seumpama ini apabila ia berada dalam ketakutan.

"Dalam menangani wabak, ketelusan adalah jalan ke hadapan. Berita palsu tiada sebarang kaitan dengan pengurusan Covid-19. Ini tindakan politik," katanya lagi.

Berikut adalah dokumen penuh Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata dia mendapati Seksyen 12 Bahagian 4 Ordinan itu sangat membimbangkan.

Seksyen itu menyatakan sebarang pernyataan oleh tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa boleh digunakan sebagai keterangan.

"Ini bersifat drakonian kerana membenarkan sebarang kenyataan daripada tertuduh boleh digunakan terhadapnya di mahkamah.

"Ia memberi ruang kepada salah guna kerana kenyataan yang diberikan di bawah tekanan atau ancaman juga boleh digunakan.

"Akta Keterangan 1950 telah memberi perlindungan daripada salah guna seperti itu dan menjadikan kenyataan tanpa sukarela sebagai tak boleh diterima. Malangnya, ordinan ini melangkaui Akta Keterangan, yang juga sangat membimbangkan," kata ahli Parlimen DAP itu lagi.

Dia juga mengkritik Seksyen 24 Ordinan yang memerlukan pihak pembelaan menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pendakwa sebelum perbicaraan bermula.

Katanya, ia tidak konsisten dengan prinsip asas perundangan jenayah iaitu pihak pendakwaan yang perlu membuktikan kes terhadap tertuduh.

"Ordinan ini tiada sebab untuk mengabaikan prinsip asas ini," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS