Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan bekas pengerusi Tabung Haji itu untuk membatalkan tuduhan berkenaan dengan alasan ia cacat, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat atau mala fide.

Abdul Azeez sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Abang tertuduh, Abdul Latif Abdul Rahim, akan memberi keterangan ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Semasa prosiding hari ini, hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa tertuduh gagal membuktikan bahawa tuduhan itu tidak berasas, cacat atau dilakukan dengan niat jahat oleh pihak pendakwaan.

"Bagi saya, kes ini tidak wajar untuk mahkamah ini menggunakan kuasa yang ada untuk membebaskan tuduhan terhadap pemohon (Azeez) dan membebaskan pemohon.

"Pemohon gagal menunjukkan tuduhan itu tidak tepat dan salah guna proses mahkamah. Permohonan ditolak, ” kata hakim.

Peguam tertuduh Amer Hamzah Arshad kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Pendakwaan diketuai oleh DPP Aslinda Ahad.

Menurut dokumen dalam talian di http://ecourtsevices.kehakiman.gov.my, kes Azeez akan dibicarakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi.

Azeez dituduh melakukan kesalahan rasuah di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.


Lihat Komen
ADS