Malaysiakini
BERITA

Zaid: Kenapa layan rakyat macam musuh?

Geraldine Tong

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Mac 2021, 8:10 pagi

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperlakukan rakyat seperti musuh dengan mewartakan Ordinan Darurat yang bertujuan memerangi "berita palsu" berkaitan  Covid-19.

"Kita laksanakan Darurat ini untuk menangani Covid-19, itulah yang dikatakan kerajaan. Oleh itu, jika Covid-19 adalah musuh, mengapa bertindak seolah-olah rakyat adalah musuh?" kata Zaid dalam wawancara dengan Malaysiakini di kediamannya di Petaling Jaya hari ini.

Kerajaan persekutuan semalam dilapor mewartakan Ordinan Darurat untuk memerangi "berita palsu" yang berkaitan dengan Covid-19 atau perisytiharan darurat.

Ini akan membolehkan kerajaan memiliki kuasa yang besar dan memberikan implikasi terhadap kebebasan akhbar.

Ordinan itu yang berkuatkuasa pada 12 Mac, menyatakan mana-mana pihak yang "mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan" berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.

Ordinan ini juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan berita yang diputuskan sebagai "berita palsu" untuk dipadamkan dan jika gagal mahkamah boleh mengarahkan polis atau pihak berkuasa untuk mengambil "langkah-langkah yang perlu" untuk menghapuskan berita tersebut.

'Google, FB pun sukar pastikan berita palsu'

Zaid berkata sedangkan syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Facebook menghadapi kesukaran bagi menentukan apakah sesuatu berita adalah palsu di platform mereka, apatah lagi rakyat biasa.

Oleh itu, katanya, peluang perlu diberikan kepada mana-mana pelaku untuk menarik balik kenyataan mereka yang ditentukan sebagai palsu.

"Seharusnya tidak menjadi kesalahan jika tiada apa yang palsu yang disengajakan yang mengganggu kepentingan umum," tambahnya.

Selain itu, kata Zaid, ada cara lain yang lebih baik bagi menangani masalah "berita palsu" berbanding dengan pelaksanaan hukuman.

"Kamu boleh periksa fakta, ajar literasi kepada orang ramai mengenai apa yang boleh dibaca dan apa yang harus dipercayai. 

"Perlukan pengetahuan mengenai perkara ini, jadi kita mesti keluarkan belanja untuk didik orang ramai.

"Inilah yang akan dilakukan oleh kerajaan yang peduli, berbanding melihat mereka (rakyat) sebagai musuh," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.