Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya mereka yang cuba menghalangnya berjumpa dengan ahli Umno di peringkat bahagian, mendapat arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kalau orang lain buat keputusan, tak mungkinlah perkara macam itu berlaku, dan kalau Pak Lah tak setuju, macam mana Nazri (Datuk Seri Mohd Nazri Tan Sri Aziz) kata kat saya. Pak Lah boleh kata dia tak setuju.

"Tapi dia (Pak Lah) tak nak kata tak bersetuju apa yang Nazri kata. Jadi bermakna secara tidak langsung apabila dia kata menteri akan cakap bagi pihak dia, bermakna itu pendapat dialah," kata Dr Mahathir dalam wawancara khas dalam akhbar politik, Era Baru keluaran 8 September.

Menurutnya, dari kalangan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, tidak ada seorangpun yang datang berjumpa dengannya, kecuali Datuk Seri Rais Yatim, yang bercakap dengannya dan "saya terangkan kenapa saya buat soalan, kenapa saya tak bersetuju. Itu ajalah. Tak ada apa-apa".

"Saya juga jumpa Rahim (Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik) dalam satu majlis perkahwinan, adalah cerita sedikit sebanyak. Adalah.

"Ada orang (merujuk kepada ahli MT dan menteri kabinet) yang nampak saya, tetapi (mereka) berada dalam ketakutan. Jadi tak berani nak kata apa-apa, yang mungkin sampai ke telinga Pak Lah atau pun orangnya, dan mungkin tindakan akan diambil ke atas mereka," tambahnya.

'Kita akan rugi'

Dr Mahathir berkata, beliau tahu bahagian-bahagian Umno dilarang menjemput beliau tetapi cuma boleh jemput pemimpin tertentu sahaja.

"Lepas tu Pak Lah buat sidang akhbar dan dalam sidang akhbar dia kata bahagian-bahagian Umno adalah bebas untuk jemput sesiapa sahaja. Ianya bukan keputusan MT Umno. Dia (Abdullah) terang-terang tidak bercakap benar," katanya.

Menurut Dr Mahathir lagi, beliau tahu pengerusi perhubungan Umno dan menteri-menteri besar dan yang lain-lain semuanya telah diarah untuk menyekatnya daripada bercakap di mana-mana bahagian Umno.

"Saya yakin kita akan rugi kalau kita tidak boleh tegur pemimpin dan pemimpin buat sesuatu yang salah, kita akan diheret jatuh sama, dan kerana apa yang dibuat sekarang sememangnya salah, sebab itulah dia (Abdullah) tak nak saya bercakap.

"Surat akbar, media eletronik ditutup, saya tidak boleh jumpa dengan ahli Umno, bahkan orang nak datang ke pejabat saya pun dah diberi arahan supaya jangan jumpa," katanya.

Sebab itulah, katanya, beliau bertanding sebagai perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu dan "kempen besar-besaran diadakan untuk menghalang saya daripada bertanding dan saya mesti dikalah," katanya.

'Tiada ketelusan'

Dalam pertandingan tersebut Sabtu lalu, Dr Mahathir gagal terpilih apabila hanya mendapat 227 undi ditangga kesembilan. Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung umno, iaitu enam dari kalangan pemimpin bahagian dan tujuh lagi dipilih dalam mesyuarat perwakilan.

Bekas Perdana Menter itu juga mengimbas kembali mesyuarat agung Umno sebelum ini di mana sebahagian daripada tradisinya ialah kedai-kedai menjual bermacam-macam termasuk buku politik.

"Sekarang ni dilarang, bahkan tak boleh dijual. Kenapa dilarang, banyak buku politik yang kecam saya. Juallah, kalau orang nak percaya, percayalah. Ini sekarang tak boleh, apa sahaja yang tidak disukai pemipin, tidak dibenarkan.

"Tak ada kebebasan lagi, Sekarang tidak boleh kritik. Di mana ketelusan, keterbukaan yang dia (Abdullah) laung-laungkan. Ini semua perkara yang tak betul," tegasnya.

Dr Mahathir berkata, beliau juga tidak faham dengan sikap ahli MT Umno seolah-olah redha apabila New Straits Times (NST) menyingkirkan kakitangan Melayu dan diganti dengan "dua tiga orang yang memangpun pengkritik Umno yang kuat dan mereka pernah bekerja di NST Singapura".

"Dulu Umno bersusah payah beli NST supaya laporannya adil. Sekarang kita serah kepada orang yang langsung tidak ada kesetiaan kepada Umno. Sebab itulah dia sering memburuk-burukkan saya," tambahnya.