Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Alhamdulillah kekal tenang, kata Azmin
Diterbitkan:  Mar 13, 2021 11:48 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Azmin Ali memberi bayangan akan ada lagi ahli parlimen PKR yang akan keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional.

"1 + 1 + 1 + ...... dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang," tulis Azmin di Twitter pagi ini.

Tulisan Azmin itu disiarkan kira-kira setengah jam selepas Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar dari PKR.

 "1 + 1 + 1" yang dimaksudkan Azmin kemungkinan merujuk kepada keputusan Xavier meninggalkan PKR, sekali gus mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Chong pada bulan lalu.

Setelah berlaku krisis politik yang dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' pada Februari tahun lalu, sebahagian besar penyokong Azmin bertindak keluar dari PKR.

Xavier adalah antara pemimpin politik yang disenarai berada dalam kem Azmin semasa pemilihan PKR pada 2018.

Perkembangan terbaru ini menyaksikan PKR kini hanya memiliki 35 kerusi parlimen berbanding 47 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum lepas.

Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) mendakwa terdapat usaha menggunakan agensi kerajaan untuk memberi tekanan kepada ahli parlimen pembangkang agar menyokong PN.

Majlis Presiden PH mendakwa antara agensi yang dijadikan "senjata politik" adalah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bagaimanapun ketiga-tiga agensi itu menafikan dakwaan berkenaan.

Lihat Komen
ADS