Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MPOCC ikrar tambah baik pensijilan susulan kajian kritikal NGO alam sekitar
Diterbitkan:  Mar 13, 2021 12:52 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) ikrar akan terus menyemak semula dan menambah baik program pensijilannya bagi menjamin pengeluaran minyak sawit yang lestari.

Ia sebagai respons kepada kajian mutakhir oleh Greenpeace bertajuk "Destruction: Certified" yang memberikan pandangan kritikal terhadap program pensijilan minyak sawit.

NGO alam sekitar itu menyatakan program Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) tiada kaitan dengan Iseal Alliance yang bertujuan memastikan syarikat dan kerajaan menepati komitmen kelestarian mereka dan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

Menurut laporan itu, MSPO "secara relatifnya lemah" kerana ia tiada aspek "tiada pembasmian hutan", "tiada peluasan ke tanah gambut" dan penghormatan terhadap keperluan masyarakat Orang Asli.

Greenpeace berkata MSPO memiliki akreditasi pemantauan yang lemah untuk pensijilan serta pelaksanaan lemah bagi sistem pematuhan standard.

CEO MPOCC Mohammad Hafezh Abdul Rahman berkata pihaknya "kesal" dengan penilaian Greenpeace yang "tidak tepat" kerana ia telah menjejaskan usaha pensijilan yang dibuat.

"Greenpeace seperti menumpukan kelemahan pensijilan untuk menepati naratif mereka.

"Daripada membandingkan semua pensijilan dengan ideal Greenpeace, mereka sepatutnya memahami objektif setiap model pensijilan dan perubahan positif yang dibawanya," katanya.

Sementara melindungi alam sekitar adalah aspek penting, Hafezh berkata program pensijilan memberikan keseimbangan antara pembangunan komoditi yang lestari dan menyokong kehidupan warga di negara membangun.

"Program kelestarian secara sukarela atau mandatori perlu digalakkan dan bukan dilabel sebagai 'greenwashing' (usaha memberi tanggapan salah berkenaan aspek alam sekitar) kerana semua pensijilan ini ada matlamat sama, iaitu melindungi alam sekitar dan mengurangkan impak pembasmian hutan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS