story image

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kembali ke negara dua hari lalu setelah menamatkan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Ketibaannya di lapangan terbang didakwa telah disambut oleh sekumpulan pegawai kerajaan.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang penularan Covid-19, mereka yang kembali dari luar negara harus menjalani kaurantin wajib selama 10 hari.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk menteri yang kembali dari lawatan rasmi. Mereka hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari.

Beberapa ahli politik pembangkang mendakwa Muhyiddin dan beberapa menteri mungkin telah melanggar SOP ketika mereka didakwa berkumpul di lapangan terbang untuk menyambut ketibaannya pada 11 Mac lalu.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik ahli politik Bersatu di media sosial, termasuk Menteri Kanan Azmin Ali, Muhyiddin dan isterinya tiba di lapangan terbang dan menerima sambutan yang turut disertai Azmin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Turut dilihat dalam gambar ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Naib Presiden Bersatu Rafiq Naizamohideen dan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.

Rafiq juga berkongsi gambar sama di Facebooknya pada hari sama ketibaan Muhyiddin, sementara Wan Fayhsal berbuat demikian keesokan harinya.

Malaysiakini difahamkan sambutan itu, yang turut melibatkan bacaan doa sebaik Muhyiddin dan isterinya keluar dari pesawat, diadakan di Pangkalan Tentera Udara Subang.

Beberapa lelaki berpakaian seragam menyerupai tentera udara juga kelihatan dalam gambar-gambar itu.

"Berdasarkan SOP semasa, setelah kembali dari luar negara, seseorang harus dikuarantin sekurang-kurangnya 10 hari.

"Walaupun (Menteri Kesihatan) Dr Adham Baba mendakwa tiga hari sudah cukup untuk menteri (dikuarantin), ketika PM tiba di Malaysia dia perlu diasingkan.

"Sekarang semua orang yang mempunyai kontak rapat dengannya di lapangan terbang secara teknikal juga harus dikuarantin dan dianggap sebagai individu dalam pengawasan (PUS)," kata ahli parlimen DAP Dr Kelvin Yii dalam satu hantaran di Facebooknya pagi ini.

Anggota Parlimen Kuching itu berkata, inilah salah satu sebab rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan, yang didakwanya berat sebelah dalam soal pelaksanaan SOP.

Dia turut merujuk kepada pindaan undang-undang baru-baru ini yang memberi kuasa kepada penguat kuasa untuk mengeluarkan denda RM10,000 ke atas individu melanggar SOP.

"Tetapi saya rasa semua peraturan ini tidak terpakai kepada menteri PN. Mereka seolah-olah dapat melanggar peraturan sesuka hati, sementara yang lain dikenakan denda hingga RM10,000.

"Inilah sebabnya orang marah. Bukan kerana mereka tidak mahu patuh SOP, tetapi kerana seperti ada dwi standard dalam pelaksanaannya," tambah Yii.

Dr Dzulkefly Ahmad

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad juga membangkitkan isu sama mengenai dwi standard dan mendesak kerajaan untuk menamatkan darurat agar Parlimen dapat bersidang semula.

"PM setelah kembali, mesti memimpin dengan teladan. (Setakat) semalam 330 orang dijatuhkan hukuman denda RM10,000, namun PM di sana melanggar peraturan yang dia luluskan. Kita tidak boleh terus ada dwi standard iaitu satu untuk VVlP dan satu lagi untuk rakyat.

"Bukankah seharusnya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara diasingkan selama 10 hari? Dwi standard ini menunjukkan Ordinan Darurat mesti ditamatkan supaya Parlimen dapat menjadikan PM bertanggungjawab terhadap masalah ini.

"Kegagalan dasar kesihatan awam secara khusus disebabkan oleh tadbir urus yang buruk," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi.

Dia juga membangkitkan yang Muhyiddin hanya baru mengambil dos pertama vaksin Covid-19.

Menurut Dzulkefly, walaupun dengan dos yang lengkap, imunisasi tidak memberikan perlindungan 100 peratus terhadap wabak itu.

"Ini bermakna bahawa walaupun diberi vaksin sepenuhnya (dua dos), PM masih boleh dijangkiti Covid-19 dan seterusnya menjadi penyebar.

"Inilah sebabnya mengapa, walaupun setelah diberi vaksin, anda tetap harus mengikuti SOP," katanya lagi.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, yang juga anggota Jawatankuasa Vaksinasi PH Covid-19, menggesa mereka yang bertemu dengan Muhyiddin semasa ketibaannya supaya melakukan kuarantin kendiri.

"Walaupun PM telah menerima suntikan vaksinnya, kenyataannya adalah kita tidak tahu apakah (orang yan telah divaksin) masih dapat menyebarkan virus.

"Oleh itu, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk PM membenarkan orang bertemunya ketika itu. Saya gesa mereka yang berjumpa dengannya untuk patuh SOP dan menjalani kuarantin tiga hari.

"Ini untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa tiada dwi piawai dan yang lebih penting ia akan menjadi isyarat kepada orang lain, terutama mereka yang telah atau akan mengambil vaksin, bahawa mereka juga harus mengikuti SOP walaupun mereka telah mengambilnya," kata Ong kepada Malaysiakini .

Anggota parlimen DAP itu juga meminta pihak berkuasa mendenda Muhyiddin dan menteri lain yang ada ketika sambutan itu kerana telah melanggar SOP.

Malaysiakini juga menghubungi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk mendapatkan maklum balas. Dia mengesahkan bahawa SOP yang memerlukan kuarantin tiga hari masih berkuatkuasa.

"Semua dasar kekal pada masa ini," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Noor Hisham tidak menjawab pertanyaan mengenai sama ada pihak yang menyambut ketibaan perdana menteri melanggar SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan, atau tidak.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS