Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP tegaskan lagi tak mahu kerjasama dengan kleptokrat Umno

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan "kleptokrat" daripada kalangan pemimpin Umno yang kebanyakannya menghadapi kes rasuah dan kini mengubah sokongan kepada pembangkang.

Lim juga mengulangi penegasan mengenai perlunya Pakatan Harapan (PH) menyatukan semua parti pembangkang - termasuk yang bukan sebahagian daripada gabungan itu.

"Kita mesti ada formula boleh menang PRU15, boleh menyatupadukan rakyat Malaysia yang bersedia mempertahan dan membela demokrasi berparlimen, dan - yang penting sekali - untuk menghalang PN (Perikatan Nasional) daripada terus menjadikan Malaysia sebuah negara gagal serta merugikan rakyat.

"Bagi matlamat ini, DAP tegaskan tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat," katanya pada Konvensyen DAP Perak yang berlangsung di Ipoh, hari ini.

Pendirian Lim itu sekali lagi memperlihatkan wujudnya jurang dalam PH, terutama membabitkan DAP dan PKR.

Untuk rekod selain kedua-dua parti itu PH turut disertai Amanah.

PKR ketika ini tidak mempunyai hubungan baik dengan parti pembangkang yang lain, terutama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yaang dianggap menjadi punca kejatuhan kerajaan PH tahun lalu.

PKR juga mempunyai membuka saluran komunikasi dengan sesetengah pimpinan Umno termasuk yang sedang dibicarakan di mahkamah - serta digelar kluster mahkamah oleh Bersatu - dan sudah atau bakal dijatuhi hukuman.

"Kluster mahkamah" mengalih sokongan kepada pihak pembangkang kerana tidak berpuas hati terhadap cara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menguruskan kes-kes rasuah mereka.

Sebelum ini Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memberitahu antara sebab parti itu tidak puas hati dengan kepada kerajaan PN ialah kerana mereka tetap meneruskan kes-kes mahkamah membabitkan pemimpinnya.

“Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat," katanya pada Jan lalu.

[Laporan lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS