Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kawasan runtuhan tebing Sungai Kelantan bakal jadi taman rekreasi’

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera sejumlah RM60 juta bagi membaikpulih dan membangunkan semula di kawasan runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek membaik pulih tebing berkenaan akan dilakukan dengan kadar segera dan dijangka perlu disiapkan akhir Oktober ini sebelum ketibaan musim tengkujuh.

Katanya, peruntukan itu termasuk kerja-kerja pengambilan tanah sebanyak 20 lot, pembinaan struktur penahan tebing, pembaikan cerun dan pembinaan rumah pam.

"Saya membawa perkara ini ke mesyuarat kabinet bagi menyelamatkan situasi dan sukacita dimaklumkan kabinet meluluskan peruntukan segera RM60 juta sebagaimana yang dipohon kerajaan negeri.

"Projek berkenaan akan dilakukan secepat mungkin bagi mengelak monsun akhir tahun ini. Sekiranya ketika monsun projek belum lagi siap, kita khuatir apa yang kita bina akan hilang dan mengalami kerugian lebih besar,” katanya pada sidang media selepas melawat di lokasi runtuhan tersebut, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan kepimpinan kerajaan negeri.

Sebagai rekod seramai 100 penduduk di Kampung Pohon Celagi, dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 200 meter, pada 17 Februari lalu yang turut meranapkan beberapa rumah dipercayai disebabkan terjahan air ke tebing sungai.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, kawasan itu akan dibangunkan dan dijadikan taman rekreasi supaya menjadi tarikan baru serta destinasi pelancongan.

"Lokasi ini kita akan dibangunkan semula untuk kawasan rekreasi supaya menjadi tarikan pelancongan.

"Insya-Allah satu denai sungai akan dibangunkan untuk mengindahkan pagi kawasan ini dan menjadikan sebagai destinasi pelancong di Pasir Mas," katanya.

Dalam perkembangan, pihaknya menolak kemungkinan aktiviti mengorek pasir yang menyebabkan berlaku runtuhan tersebut.

Katanya, kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), berlaku mendapan di bahagian bawah selain kawasan bawah di bahagian benteng berkenaan paling sempit yang menyumbang kepada runtuhan.

"Benteng berkenaan juga dibina sejak 1982 lagi, namun siasatan terperinci masih dijalankan," kata Tuan Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS