mk-logo
Berita
Mufti, pakar muktamad resolusi isu kalimah Allah esok - Zulkifli
Diterbitkan:  Mar 15, 2021 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata satu pertemuan dengan mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang bagi memuktamadkan resolusi berkaitan isu kalimah Allah akan diadakan esok.

Menerusi perkongsian di portal al-Bayan, Zulkifli berkata cadangan pertemuan bersama mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Penasihat Undang-Undang Jakim, Jumaat lalu.

Portal al-Bayan adalah portal yang dibangunkan oleh pejabat Zulkifli yang menggabungkan 13 agensi di bawahnya untuk menyalurkan maklumat berkenaan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Menurut Zulkifli lagi, pertemuan tersebut antara lain bagi mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana tindakan segera yang teratur dan berprinsip perlu memandangkan isu itu melibatkan aspek teknikal.

“Berhubung isu akidah, apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas,” katanya.

Sementara itu dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya, Zulkifli berkata pandangan dan buah fikiran pimpinan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga akan diambil kira dalam Munaqasyah Khas itu esok.

Katanya, kerajaan sentiasa melihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan kerja strategik dalam apa jua lapangan.

"Sinergi yang berkesan insya-Allah akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Malaysia," katanya yang turut berkongsi lawatan beliau ke ibu pejabat Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) untuk bertukar-tukar pandangan dan mencari titik persefahaman antara kerajaan dan NGO Islam.

Pada 10 Mac, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut dibenarkan untuk digunakan.

Hari ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

- Bernama

Lihat Komen
ADS