Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta sekat sebaran agama bukan Islam WP akan jadi contoh

Penggubalan Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Wilayah Persekutuan bakal menjadi landasan kepada negeri-negeri lain menambahbaik enakmen sedia ada.

Anggota Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Nik Bahrum Nik Abdullah berkata dengan tergubalnya akta itu di peringkat Wilayah Persekutuan ia juga akan membolehkan negeri lain mencontohinya.

"Disebabkan di peringkat Wilayah Persekutuan ia baru dibuat, penggubalannya ditambah baik daripada pelbagai aspek berbanding yang sedia ada di negeri-negeri lain," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Tambah Nik Bahrum di negeri lain peruntukan berkenaan larangan mengembangkan ajaran bukan Islam kepada orang Islam memang sudah ada dan berkuat kuasa.

Secara umum katanya peruntukan mengenai hal itu di peringkat negeri adalah sama, kecuali di Kelantan apabila hukuman yang ditetapkan lebih tinggi berbanding yang lain.

Terdahulu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan beberapa undang-undang syariah akan digubal manakala beberapa akta lain akan dipinda mengikut rancangan pelan pemerkasaan undang-undang syariah Wilayah Persekutuan.

Katanya proses itu dijangka memakan masa sehingga lima tahun.

Menurut Ahmad Marzuk antara perubahan yang dirancang ialah pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan menggubal Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

"Bagi memperkasakan undang-undang syariah khususnya di Wilayah Persekutuan, kerajaan merangka Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah bagi tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2020 hingga 2025.

"Dalam pelan pemerkasaan ini, kerajaan bercadang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama, termasuk penggubalan undang-undang baru dan undang-undang sedia ada dan lapan undang-undang subsidari," katanya yang juga anggota parlimen Pengkalan Chepa. 

Sebagai rekod, penguatkuasaan negeri-negeri membabitkan kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) mengenakan denda antara RM1,000 hingga RM10,000 penjara jika disabitkan kesalahan.

Setakat ini selain Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak juga belum menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Lihat Komen
ADS