Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda mahu kerajaan atasi isu layanan dua darjat SOP Covid-19
Diterbitkan:  Mar 16, 2021 4:40 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap layanan dua darjat yang diberikan kepada kalangan orang kenamaan berbanding rakyat jelata dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan.

Muda dalam kenyataannya berkata pihak yang bertanggungjawab juga mesti menyiasat semua kes yang melibatkan orang kenamaan - termasuk menteri - serta mendedahkan proses serta hasil siasatan yang dijalankan secara telus dan adil.

"Tindakan pihak berkuasa yang tidak konsisten dalam penguatkuasaan pematuhan SOP menonjolkan ketidakadilan dan sifat zalim.

"Setakat 14 Mac ini, seramai 458 orang awam dikenakan tindakan dengan 438 daripadanya disaman, tujuh direman dan 13 dilepaskan dengan jaminan.

"Rakyat melanggar SOP dikenakan saman RM10,000. Pada 13 Mac dilaporkan satu pasangan dikenakan kompaun maksimum kerana tidak memakai pelitup muka walaupun membukanya untuk makan dan minum.

"Tindakan yang segera dan berat bagaimanapun tidak dikenakan ke atas golongan menteri dan ahli politik," kata Muda.

Justeru, Muda menggesa kerajaan menguatkuasakan tindakan dan hukuman secara tegas dan adil ke atas semua pihak yang melanggar SOP tanpa mengira latar belakang, kedudukan dan pengaruh kuasa.

Gambar majlis kenduri tersebar

Selain itu, Muda juga akan melancarkan satu laman sesawang - lapormenteri.com - untuk mengumpul segala aduan dan maklumat berkaitan golongan kenamaan yang melanggar SOP.

"Laman ini akan memuatkan semua pelanggaran SOP untuk dipamerkan kepada orang ramai dan untuk dibawa ke perhatian pihak berkuasa," katanya.

Bermula 11 Mac lalu, kerajaan menaikkan jumlah maksimum kompaun bagi seseorang yang mengingkari SOP Covid-19 daripada RM1,000 kepada RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan mulai 11 Mac.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kadar kompaun itu boleh dikurangkan dengan membuat rayuan di pejabat kesihatan daerah.

Abdul Hamid Bador

Terdahulu, warga maya mempersoalkan jika ada beberapa menteri menyalahgunakan hak dan keistimewaan mereka untuk menghadiri perjumpaan sosial di negeri lain susulan tersebarnya gambar sebuah majlis kenduri perkahwinan di Seremban.

Gambar-gambar itu dikongsi oleh Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Mohd Zaidy Abdul Kadir, di Instagramnya tetapi ia ditarik balik semula hari ini.

Namun, seorang pengguna Twitter @Iamkanahraf memuat naik beberapa tangkap skrin yang memaparkan para tetamu VVIP di platform media sosial.

Antara mereka yang dipaparkan itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga anggota parlimen Rembau, dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad.

Kapsyen di bawah gambar tertulis: "menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Jalaluddin Alias di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan."

Tengku Zafrul juga memuat naik gambar yang sama yang memaparkan dia dan isterinya di Instagramnya dua hari lalu. Dia mencatatkan dalam kapsyen bahawa majlis itu berjalan lancar dengan pematuhan SOP.

Namun, tidak disebutkan lokasi majlis itu diadakan.

Untuk rekod, sejak 27 Jan lalu Majlis Keselamatan Negara membenarkan ahli parlimen and Adun melakukan perjalanan atas tujuan rasmi dan mengunjungi kawasan pilihan raya mereka.

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin pula mendesak pihak berkuasa menyiasat dan bertindak terhadap ahli politik yang terlibat kerana merentas negeri semata-mata untuk menghadiri perjumpaan sosial.

“Pada saya kalau rentas negeri untuk hadir majlis kenduri sosial, bukan urusan kerja, tak kira menteri atau rakyat biasa, tak bolehlah.

“Wakil rakyat pun janganlah ambil kesempatan, kita kena tunjuk teladan... ini bukan soal kita di pihak kerajaan atau pembangkang, tapi ini pasal patuhi SOP untuk keselamatan.

“Tindakan kena ambillah. Yang saya terkejut pimpinan besar berada dalam tu. Mereka patut jadi teladan, kalau nak rakyat ikut, menteri kena ikutlah. Saya mohon tindakan dan siasatan diambil,” katanya.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata setakat ini belum ada laporan mengenai perkara itu dan tidak ada isu yang dibangkitkan.

Lihat Komen
ADS