Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunggu Covid-19 reda baru denda pemilik motosikal ekzos bising, kata Najib
Diterbitkan:  Mar 16, 2021 5:36 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Najib Razak hari ini mencadangkan kerajaan memberi tempoh pengampunan sehingga setahun buat pengguna motosikal yang mengubah suai kenderaan mereka tanpa mengikut undang-undang sebelum melakukan operasi penguatkuasaan besar-besaran.

Bekas perdana menteri itu Najib berkata demikian semasa mengulas isu tindakan yang dikenakan pihak berkuasa ke atas pemilik motosikal yang mengubah suai ekzos mereka.

Kata Najib seorang pemuda juga meminta bantuannya untuk menyentuh isu berkenaan.

Meskipun isu ekzos motosikal yang terlalu bising kerana diubah suai sudah lama wujud dan kurang disenangi ramai pihak, namun kata Najib, musim Covid-19 bukanlah masa sesuai melakukan operasi penguatkuasaan disusuli saman besar-besaran terhadap mereka.

Ini katanya menyebabkan penunggang motosikal takut untuk keluar mencari rezeki kerana berdepan kemungkinan disaman atau malah dipenjara.

“Sebab virus Covid-19 tak takut pada bunyi ekzos.

“Jika pengguna motosikal nak perbetulkan ekzos dan aksesori motosikal mereka pun perlukan masa dan wang. Tapi dalam krisis pandemik ini, ramai tidak ada duit berlebihan untuk memperbetulkannya.

“Ekoran itu, ramai anak muda yang tidak lagi berani membawa motosikal keluar untuk mencari rezeki sebab takut disaman RM2,000, penjara enam bulan dan motosikal disita,” katanya di Facebook.

Justeru Najib mencadangkan tempoh pengampunan selama separuh tahun atau setahun setelah Covid-19 berakhir. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik, katanya, barulah operasi penguatkuasaan dilaksanakan semula.

Penentu nasib 'kerajaan kebencian'

Hal itu, katanya, dapat memberi peluang kepada pengguna motosikal mencari pendapatan bagi memperbaiki motor mereka, selain memberi ruang untuk usaha pihak berkuasa menyasarkan penguatkuasaan ke atas kedai-kedai aksesori dan kedai motosikal.

“Berilah tempoh yang munasabah bagi anak-anak muda untuk bernafas semula ketika pandemik Covid-19 ini.

“Jika parlimen boleh ditangguh dengan alasan tak masuk akal sehingga darurat berakhir dan PRU (pilihan raya umum) boleh diketepikan dengan alasan perlu tunggu sehingga pandemik berakhir, kenapa pula operasi penguatkuasaan ekzos serta aksesori motor tidak boleh ditangguh selagi ianya tidak membahayakan nyawa?” soal Najib.

Bersama hantarannya itu, Najib turut melampirkan luahan seorang pengguna motosikal dengan nama “Bro Jai” yang mendakwa banyak saman dan tumpuan pengukuaasaan diberikan terhadap pengubahsuaian ekzos, lampu limpah, nombor plat dan aksesori.

Dia menyifatkan tindakan penguatkuasaan terhadap pengguna motosikal sebagai keterlaluan sedangkan pengubahsuaian ekzos dan penambahan aksesori motosikal tidak menyebabkan kemalangan meningkat berbanding keadaan jalan raya berlubang dan rosak.

Dakwa Bro Jai banyak pengubahsuaian motosikal sebenarnya dilakukan bagi memastikan keselamatan yang lebih baik selain aksesori yang ditambah atas faktor hobi untuk memberikan keceriaan dan kekemasan.

“Keceriaan rakyat pun anda nak rampas? [...]

“Dengan rendah diri kami dan saya secara peribadi ingin ingatkan bahawa kami pun pengundi dan penentu masa depan kerajaan kebencian kami akan diterjemah kepada kertas undi akan datang!

“Kami mula hilang sabar bila kami susah untuk bekerja dalam keadaan ekonomi kami tenat dan poket kami mulai kosong dan diperah perah hingga kering,” katanya.

Lihat Komen
ADS