mk-logo
Berita
JPN, dua pihak lagi bantah perayu mohon mahkamah batal tukar agama sepihak

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lagi membantah permohonan di mahkamah untuk membatalkan penukaran agama sepihak seorang ejen insurans ketika dia masih kanak-kanak.

Dalam pemfailan di mahkamah pada 14 Disember tahun lalu, ketua pengarah JPN, kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyebut tiga sebab utama untuk membantah tuntutan di mahkamah oleh wanita berusia 40 tahun itu.

Salah satu alasan yang disebutkan oleh ketiga-tiga pihak ini bahawa cabaran undang-undang itu dibuat melebihi tempoh permohonan, kerana penukaran agama wanita itu berlaku pada 4 Oktober 1990.

Mereka mendakwa jangka waktu permohonan izin semakan kehakiman tersebut seharusnya difailkan di mahkamah dalam tempoh tiga bulan dan bahawa tempoh permohonan izin berakhir pada 4 Jan 1991.

Mereka memetik Aturan 53 Kaedah 3(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bahawa permohonan izin semakan kehakiman perlu difailkan antaranya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh alasan permohonan dibuat.

Responden berpendapat dalam keadaan mahkamah tidak melanjutkan tempoh tersebut, maka mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu.

Ketiga-tiga pihak berkenaan menjadi responden dalam permohonan semakan kehakiman bertujuan membatalkan penukaran agama seorang ejen insurans berusia 40 tahun itu.

Wanita itu mendakwa bapanya yang memeluk Islam menukar agamanya secara sepihak pada tahun 1990, ketika dia berusia 10 tahun.

Hal ini, dakwanya dilakukan bapanya tanpa persetujuan ibunya, yang terus menganut agama Buddha.

Ketiga-tiga pihak ini menjadi responden dalam tindakan undang-undang oleh ejen insuran itu. Jabatan Peguam Negara bertindak bagi pihak JPN dan dua lagi.

Dalam pemfailan mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, responden berpendapat Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes semakan kehakiman yang melibatkan perkara yang termasuk dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.

Mereka antara lain memetik, Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan Mahkamah Sivil Malaya, Sabah dan Sarawak, tidak boleh mencampuri hal-hal yang berada dalam bawah bidang kuasa mahkamah Syariah.

"Oleh kerana deklarasi tersebut termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah, mahkamah terhormat ini, sebagai Mahkamah Tinggi Sivil, tidak memiliki bidang kuasa untuk memberikan deklarasi yang diminta oleh pemohon berdasarkan Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, Peguam Negara mengemukakan bahawa permohonan izin untuk semakan kehakiman harus ditolak oleh mahkamah terhormat ini sehubungan dengan pernyataan yang diminta oleh pemohon," katanya.

Mereka juga mendakwa disebabkan keputusan kes duluan (preseden) Mahkamah Persekutuan tahun 2007, ejen insurans tidak mempunyai kes yang boleh diperdebatkan dan bahawa JPN dibenarkan untuk meminta dia terlebih dahulu mendapatkan keputusan mahkamah Syariah untuk menentukan status agamanya.

Responden merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan 2007, yang menolak rayuan Lina Joy untuk mengeluarkan perkataan "Islam" dari kad pengenalannya (Mykad).

Dalam keputusan majoriti, Mahkamah Persekutuan memutuskan Lina perlu merujuk Mahkamah Syariah terlebih dahulu yang mengesahkan penolakannya terhadap Islam, sebelum JPN dapat membuang perkataan "Islam" daripada Mykadnya.

[Baca laporan asal]

ADS