Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menambah baik peraturannya berdasarkan kepada perkembangan semasa termasuk had pengumpulan dana yang dinaikkan kepada RM20 juta daripada RM10 juta bagi memastikan pembiayaan alternatif terus berkembang.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata langkah lain yang bakal diperkenalkan SC bagi merancakkan pembiayaan alternatif adalah pendanaan awam ekuiti yang akan diperluaskan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai.
Beliau berkata fi berkaitan penyenaraian akan turut dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di Pasaran Utama, LEAP atau ACE untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham.
“Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka,” katanya semasa mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini.
Muhyiddin berkata bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menghadapi risiko penggulungan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersetuju untuk menaikkan nilai ambang keterhutangan (indebtedness threshold) kepada RM50,000 daripada RM10,000.
Pada masa yang sama, katanya, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar institut Pengajian Tinggi sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
“Kerajaan menyedari bahawa gerakan koperasi turut terjejas berikutan pandemik COVID-19. Susulan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan,” katanya.
Perdana Menteri berkata permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan.
Menurutnya, sejumlah RM50 juta akan diperuntukkan daripada Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.
Sementara itu, Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital, katanya.
- Bernama
