Seorang lelaki yang mahu membayar perbelanjaan keluarga selain menyelesaikan hutang piutangnya sanggup memalsukan laporan polis dengan mendakwa disamun di Taman Ehsan, Kepong, Gombak kelmarin sehingga menyebabkan 'kerugian' RM50,750.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata lelaki berumur 35 tahun itu telah dipercayai membuat laporan polis bagi membolehkan dia mengaut keuntungan wang tunai menerusi hasil jualan perniagaan bersama rakan kongsinya.
“Suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada 12.30 tengah hari bagi membuat laporan, menyatakan dia disamun dua individu menaiki sebuah motosikal.
“Namun hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan turut membuat perniagaan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan getah itu mengada-adakan kejadian menerusi laporan dibuatnya,” kata Arifai dalam kenyataan semalam.
Menurutnya semakan rekod ke atas lelaki terbabit mendapati dia masih dikehendaki bersabit kes penipuan di Kempas, Johor dan di Kuantan, Pahang pada 2014.
Kata Arifai siasatan mendapati suspek menggunakan RM30,750 daripada keseluruhan jumlah itu bagi tujuan perbelanjaan keluarga serta membayar hutangnya.
Polis juga katanya merampas baki RM20,000 yang ada dalam simpanan suspek dan menahan lelaki itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut atas rekod ‘dikehendaki’ bersabit kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat meragut beg tangan seorang wanita berumur 57 tahun di Taman Ehsan Isnin lepas.
“Laporan polis dibuat mangsa membabitkan kejadian 7.45 pagi itu menyatakan beg tangannya diragut suspek bermotosikal ketika dia membuka pintu kereta di rumahnya sebelum suami mangsa mengejarnya hingga suspek terjatuh daripada motosikalnya.
“Suspek kemudian melarikan diri meninggalkan motornya. Polis bagaimanapun berjaya menahan suspek di sebuah rumah terletak di Kampung Selayang sehari kemudian,” katanya.
Arifai berkata suspek berumur 33 tahun itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah yang sama. Dia kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan direman tujuh hari bermula semalam.
- Bernama
