Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad secara sinis menyindir Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa menggunakan kelebihan pengisytiharaan darurat untuk kepentingan diri sendiri.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tiada keperluan untuk mengadakan sidang Parlimen kerana kenyataan Muhyiddin sekarang sudah setaraf kelulusan Parlimen.
"(Akta) berita palsu ciptaan Najib (Razak) dibatal oleh Pakatan Harapan (PH). Dibawa balik oleh Muhyiddin. Kenyataan Muhyiddin setaraf kelulusan Parlimen. Sebut sahaja, jadi undang-undang.
"Apa perlu Parlimen? Apa perlu pilihan raya? Habis masa, habis duit. Beli orang, panggil mereka wakil rakyat, Kerajaan tertubuh – selamat berbillion ringgit.
"Tak cukup duit, naik denda. Tak bayar (RM)10,000 pakai baju oren (penjara), masuk dalam (lokap)," tulis Mahathir dalam satu catatan di blognya, semalam.
Dalam pada itu Mahathir turut menyindir pelaksanaan dwi standard terhadap prosedur operasi standard Covid-19 yang mana rakyat biasa perlu melalui kuarantin selama 10 hari, manakala menteri hanya tiga hari.
Katanya, lompat parti semakin menjadi-jadi, namun ia belum pasti menjamin majoriti Muhyiddin sebagai perdana menteri.
"Lompat menjadi-jadi. Dua, tiga lompat masuk parti kerajaan. Belum tentu Muhyiddin dapat majoriti. Lompat keluar tak tahu?
"Sebab lompat? Heh, Heh, Heh. Kita tahu la. 'Cash is king'. Katanya ada tawaran lagi kepada parti lawan. bisnes politik lebih untung dari bisnes-bisnes," tulis Mahathir lagi.