Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Illi Najwa menghadap sultan, siasatan dapati tak pernah keluar Islam
Diterbitkan:  Mar 18, 2021 12:16 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Illi Najwa Anuar Hussein Saddique, yang menimbulkan kontroversi apabila melangsungkan perkahwinan dengan Kapten Hoki India Manpreet Singh Pawar, tahun lalu.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di laman Facebook rasmi baginda memaklumkan pertemuan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Sultan Ibrahim juga turut berkenan menerima mengadap Mufti Johor Yahya Ahmad bagi mempersembahkan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung status perkahwinan dan keagamaan Illi Najwa bersama pasangannya.

Mengiringi bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Md Rofiki Shamsudin.

Sementara itu Yahya dalam kenyataanya kepada Royal Press Office (RPO)berkata, siasatan secara menyeluruh telah dijalankan oleh JAINJ dan mendapati Illi Najwa masih Islam.

"Pihak JAINJ telah memanggil Illi Najwa bersama ibunya serta beberapa saksi lain dan keterangan juga diambil daripada mereka.

"Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar dari Islam, malah pada hari ini beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama kami untuk mengadap Baginda Tuanku Sultan," katanya.

Tambah Yahya, pendaftaran perkahwinan pasangan itu di Johor Bahru juga kini dalam proses.

"Tiada ada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai," katanya.

Pada Disember lalu, kapten pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar mengadakan majlis perkahwinan dengan Illi Najwa.

Tersebar gambar dan rakaman video yang menunjukkan mereka seperti melangsungkan upacara agama Sikh (atas).

Bagaimanapun, Illi Najwa berkata suaminya menganut agama Islam sejak akhir 2019 dan dia tidak pernah menukar agama.

Ekoran dari itu Sultan Johor menitahkan agar JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan.

Sultan Johor bertitah, sebagai ketua agama Islam Johor, baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Lihat Komen
ADS