Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Allah: 'PH mahu selesai luar mahkamah tapi Muhyiddin tak setuju'
Diterbitkan:  Mar 18, 2021 5:24 AM
Dikemaskini: 6:08 AM

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mahu menyelesaikan kes kalimah Allah di luar mahkamah tetapi perkara itu tidak dipersetujui oleh Muhyiddin Yassin yang ketika itu bertugas sebagai menteri dalam menteri, dakwa Baru Bian.

Baru Bian, bekas menteri kerja raya, mendedahkan perkara itu menjadi sebab kenapa kes itu ditunda banyak kali.

Katanya, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin sudah berjumpa dengan peguam seorang wanita Melanau beragama Kristian Jill Ireland dan Sidang Injil Borneo (SIB), yang berkaitan dengan kes itu.

"Peguam memberi bayangan kepada peguam kanan persekutuan yang mewakili kerajaan persekutuan bahawa mereka bersedia untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah atau untuk menyelesaikan penyelesaian pentadbiran kedua-dua kes ini," katanya.

Baru berkata jemaah menteri pada pertengahan 2019 bersetuju agar isu kalimah Allah diselesaikan di luar mahkamah dan memberi mandat kepada Daim untuk menyelesaikan masalah berkenaan tetapi perkara itu tidak disampaikan secara rasmi kepadanya.

Menurut ahli parlimen Selangau, dia kemudian membangkitkan masalah tersebut pada 8 Nov 2019 dan sebuah jawatankuasa khas dibentuk.

Muhyiddin Yassin 

Jawatankuasa itu terdiri daripada dirinya, Muhyiddin, ahli parlimen Penampang Darell Leiking, ahli parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong dan ahli parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa.

Baru berkata jawatankuasa itu mencadangkan pindaaan dibuat terhadap arahan pentadbiran 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah "Allah", untuk menyatakan ia boleh digunakan dalam penerbitan Kristian tanpa sebarang syarat di Sabah dan Sarawak.

Harus nasihatkan rakyat 

Mengenai Semenanjung Malaysia, dia berkata, cadangan itu bagi memastikan penerbitan Kristian yang menggunakan perkataan itu harus mempunyai cap "penerbitan Kristian".

Baru berkata dia membuat pendedahan itu setelah Gabungan Parti Sarawak mendakwa kerajaan PH sebelum ini tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Untuk maklumat GPS, saya dan beberapa menteri berusaha mencari jalan keluar yang tidak akan menghasilkan situasi menang-kalah melainkan menang-menang.

"Namun, menteri dalam negeri pada masa itu (Muhyiddin) tidak memihak kepada penyelesaian di luar mahkamah dan ingin mahkamah memutuskan, dengan alasan yang cuma dia mengetahuinya.

"Sekarang setelah mahkamah membuat keputusan, dia (Muhyiddin) harus menasihati rakyat untuk menghormati keputusan itu," katanya.

Baru berkata dia sedar bahawa kes-kes terbabit sangat sensitif, justeru mahu ia diselesaikan secara pentadbiran.

"Saya harap kita dapat bersama-sama menyokong biparti bagi mempertahankan hak semua warganegara Malaysia tanpa mengira kepercayaan, bangsa dan latar belakang mereka sebagaimana sumpah jawatan sebagai wakil rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS