Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor lulus dana RM100 juta bagi beli vaksin Covid-19
Diterbitkan:  Mar 18, 2021 6:38 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk pembelian vaksin Covid-19 bagi negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata sebagaimana yang dirancangkan, Selangor dijangka mendapat vaksin Covid-19 pada akhir Mei atau awal Jun yang secara langsung akan membantu mempercepat proses program vaksinasi di negara ini.

"Kita sudah muktamadkan (jenis) vaksin tersebut tapi kena tunggu saya dapatkan dulu (baru umumkan)… tapi ia adalah dalam kalangan lima vaksin yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sudah pasti kita akan tunggu kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi vaksin tersebut dibenar untuk digunakan," katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di Hospital Shah Alam hari ini.

Amirudin merupakan antara 42 individu pertama termasuk petugas barisan hadapan yang menerima vaksin untuk dos kedua tersebut di Selangor.

Mengenai program suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di negeri itu, katanya, setakat ini seramai 45,000 orang sudah divaksinasi daripada 66,000 senarai penerima dan Selangor merupakan negeri yang tertinggi menerima suntikan vaksin tersebut.

"Saya percaya dengan kepantasan yang kita ada, menjelang April kita boleh menyelesaikan fasa pertama program suntikan vaksin ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS