Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pahang henti beri tanah kepada pemaju tak laksanakan projek
Diterbitkan:  Mar 20, 2021 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Tindakan tegas termasuk menghentikan pemberian tanah baru dilaksanakan terhadap syarikat pemaju perumahan yang tidak membangunkan tapak diberikan terlebih dulu, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya tindakan itu diambil kerana terdapat pemaju yang meminta tanah untuk dibangunkan dengan projek perumahan, namun sebelum ia dibangunkan, mereka mengemukakan permohonan untuk mendapatkan tapak baru.

"Jadi kerajaan negeri putuskan bahawa mereka ini perlu bangunkan dahulu tanah sedia ada kerana tindakan tidak berbuat apa-apa selepas peroleh tanah merugikan rakyat dan kerajaan negeri, sedangkan ada pihak yang berminat untuk membangunkan tanah tersebut.

"Malah, jika pemaju perumahan yang dilantik tidak berupaya membangunkan rumah atau menyiapkannya dalam tempoh diberikan, kita juga akan menarik balik dan tawarkannya kepada pemaju lain yang berkemampuan melaksanakan tanggungjawab itu," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 dekat Kuantan hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda.

Menurut Wan Rosdy, aspek perumahan antara keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Pahang mempunyai alternatif membeli rumah pada harga berpatutan kerana memiliki kediaman sendiri adalah impian majoriti individu.

Sebagai contoh, katanya rumah PR1MA Pahang jenis teres setingkat dengan keluasan 1,000 kaki persegi dibuka pada harga jualan daripada RM165,499 sebuah selain terdapat Rumah Makmur berharga RM80,000 seunit bagi mereka yang layak membelinya.

Mengulas mengenai PR1MA Pahang di Gambang Jaya 2, Wan Rosdy berkata ia melibatkan pembinaan 203 buah rumah yang dibahagi kepada dua fasa.

Fasa pertama sebanyak 161 unit dibina termasuk jenis rumah berkembar dan banglo setingkat manakala fasa kedua masih dalam perancangan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS