Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin lancar Dasar Perhutanan Malaysia
Diterbitkan:  Mar 21, 2021 2:07 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan hari ini menyaksikan penyatuan julung kali semua negeri di Malaysia dalam bidang perhutanan negara yang telah menjangkau usia 120 tahun.

Perdana Menteri berkata semua negeri bersetuju menerima dasar itu yang menggariskan hala tuju jelas sektor perhutanan dalam mendepani cabaran baru di peringkat domestik dan antarabangsa pada mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 yang diadakan 29 Jan lepas.

“Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. 

"Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan yang lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara.

“Saya berharap agar usaha bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan kelima-lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang dihasratkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum melancarkan Dasar Perhutanan Malaysia bersempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat tersebut juga bersetuju dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi menggantikan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) yang terpakai di Semenanjung.

"Ketiga-tiga dasar perhutanan wilayah iaitu Dasar Hutan Sabah, Dasar Hutan Sarawak dan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pengurusan hutan secara berkekalan menjadi sebahagian daripada Dasar Perhutanan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata selain daripada pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia, kementerian juga berjaya melaksana beberapa pencapaian dalam sektor perhutanan walaupun negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

Antaranya ialah Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta Pokok dan penanaman 18.75 juta pokok di seluruh negara pada 2020.

Selain itu, pencalonan Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera di bawah program Man and the Biosphere (MAB), Unesco; pencalonan Taman Negara Johor Endau Rompin sebagai Asean Heritage Park ke-4 di Malaysia serta penghantaran pulang sembilan ekor Orang Utan ke Indonesia selain penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) untuk negeri-negeri bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Beliau juga memberi jaminan komitmen kerajaan bahawa pelbagai inisiatif dan program mengenai pemuliharaan hutan dan biodiversiti akan terus dipergiat, diperbaiki dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

"Tumpuan khusus akan diberikan kepada Agenda Nasional Penghijauan Malaysia bagi meningkatkan pemuliharaan hutan menerusi aktiviti penanaman pokok, rehabilitasi dan restorasi kawasan hutan terosot dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-12," katanya.

Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok sepertimana diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

Katanya, litupan kawasan berhutan di Malaysia pada masa ini ialah 55.3 peratus yang meliputi kawasan seluas 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara.

"Justeru, keluasan kawasan berhutan ini wajar dipelihara dan dipulihara oleh kita semua," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS